It kembali hangatkan suasana di pawagam

KEHADIRAN filem seram It yang merupakan sebuah karya adaptasi dari novel Stephen King dan direalisasikan oleh New Line Studio dan Warner Bros seolah-olah berjaya mengembalikan kehangatan suasana di pawagam apabila mengumpulkan kutipan setinggi AS$117.2 juta sekali gus mendominasi carta setelah ditayangkan di 4,103 pawagam.

Ternyata jumlah kutipan tersebut adalah di luar jangkaan malah ia juga menjadi filem ketiga yang berjaya mendapat kutipan tertinggi bagi tahun ini selepas Beauty and the Beast dan Guardians of the Galaxy Vol.2 sekali gus mengatasi kutipan yang diperolehi oleh Spider-Man: Homecoming. Hasil kutipan dari 377 skrin Imax juga berjaya mengumpulkan sebanyak AS$7.2 juta.

“Terdapat keistimewaan yang tersendiri daripada filem tersebut yang merangkumi cara yang dirakamkan, teknik pemasaran yang cukup baik telah dilaksanakan dan kami akan tetap berharap sambutan menggalakkan secara berterusan,” jelas Ketua Pengedar di Warner Bros, Jeff Goldstein.

Para penonton yang memilih It di pawagam terdiri daripada 51 peratus wanita dan 49 peratus lelaki. Kira-kira dua pertiga penontonnya terdiri dari golongan yang berusia 25 tahun ke atas.

Kutipan yang diperoleh hasil tayangan It juga berjaya mengatasi rekod kutipan bagi bulan September yang sebelum ini dipegang oleh Hotel Transylvania 2 dengan kutipan sebanyak AS$48.5 juta ketika ditayangkan pada tahun 2015 dam Paranormal Activity 3 ketika ditayangkan pada tahun 2011.

Kehadiran badut bernama Pennywise setentunya dapat mewujudkan rasa seram dalam kalangan penonton yang memilih filem It di pawagam.
Reese Witherspoon melakonkan watak ibu kepada dua orang anak dalam filem Home Again.
Ryan Reynolds begandingan bersama dengan Samuel L.Jackson dalam The Hitman’s Bodyguard.

Sementara di pasaran luar pula, It juga disasarkan bakal menerima kutipan melebihi AS$62 juta sekali gus menjadikan kutipan keseluruhan berjumlah AS$179 juta yang mana jelas cukup menguntungkan bagi sebuah filem yang memperuntukkan kos pembikinan sebanyak AS$35 juta.

Filem seram cenderung untuk memperuntukkan kos yang rendah berbanding filem genre aksi dan fantasi yang memerlukan teknik CGI yang berkos tinggi dan setentunya ia adalah satu pelaburan yang sangat menguntungkan.

Goldstein turut menjelaskan bahawa New Line sering menitikberatkan genre sesebuah filem yang ingin dipasarkan dan seram jelas menjadi satu keutamaan di mana ia membuatkan semakin banyak filem bergenre itu bakal dipasarkan oleh studio itu pada masa hadapan.

“Sekiranya kami berjaya mendapat lebih banyak filem yang menampilkan genre seram, kami setentunya berusaha untuk memasarkannya dengan lebih baik,” jelas Goldstein.

Filem seram ini juga mendapat sentuhan pengarah berasal dari Argentina, Andy Mushietti yang sebelum ini juga berjaya mengarahkan sebuah filem seram, Mama yang ditayangkan pada tahun 2013.

Pada dasarnya, filem itu mengisahkan mengenai kemunculan entiti badut bernama Pennywise lakonan Bill Skarsgard yang menghantui kehidupan penduduk terutama kanak-kanak di Derry, Maine.

Antara pelakon lain yang turut membintangi filem seram ini adalah Jeremy Ray Taylor, Sophia Lillis, Finn Wolfhard, Wyatt Oleff, Chosen Jacobs, Jack Dylan Grazer, Nicholas Hamilton dan Jackson Robert Scott.

Selain itu, Home Again keluaran Open Road yang membariskan Reese Witherspoon sebagai pelakon utama juga merupakan antara filem baru ditayangkan pada minggu ini dan berjaya menduduki tangga kedua dengan kutipan sebanyak AS$9 juta setelah ditayangkan di 2,940 pawagam.

Kehidupan sekumpulan kanak-kanak perempuan secara tiba-tiba menjadi huru-hara setelah menemui patung misteri bernama Annabelle dalam Annabelle: Creation.
Warga kampung dan pihak polis sibuk bekerjasama untuk menyiasat kes misteri dalam Wind River.

Filem komedi yang menelan kos pembikinan sebanyak AS$15 juta itu telah diarahkan oleh Hallie Meyer-Shyer yang merupakan anak kepada Nancy Meyer yang bertindak selaku penerbit.

Ia mengisahkan mengenai seorang ibu beranak dua yang mula mendapat perhatian daripada tiga orang lelaki selepas berpisah dengan suaminya.

Juara bertahan selama tiga minggu berturut-turut, Hitman’s Bodyguard pula harus akur menduduki tangga ketiga setelah mengumpulkan kutipan sebanyak AS$4.9 juta setelah ditayangkan di 3,322 pawagam sekaligus menjadikan kutipan secara keseluruhan ialah AS$64.9 juta.

Manakala, Annabelle Creation pula menduduki tangga keempat apabila berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$4 juta hasil tayangan dari 3,003 pawagam sekaligus menjadikan kutipan keseluruhan yang berjaya dikumpulkan oleh filem tersebut ialah AS$96.3 juta.

Wind River pula menduduki tangga kelima dengan jumlah kutipan sebanyak AS$3.2 juta setelah ditayangkan di 2,890 pawagam sekali gus menjadikan kutipan keseluruhan yang berjaya dikumpul oleh filem itu ialah AS$25 juta.

Kehadiran filem It seolah-olah berjaya mengembalikan semula kehangatan suasana di pawagam yang mana telah mengalami kerugian yang teruk apabila jualan tiket menurun sebanyak 14.6 peratus

Menurut data yang direkodkan oleh comScore menjelaskan bahawa penjualan tiket meningkat sebanyak 5.5 peratus pada minggu ini berbanding sebelumnya.

Penganalisis Media Kanan di comScore, Paul Dergarabedian memuji kempen pemasaran yang telah dilaksanakan malah turut memuji bakat lakonan yang ditonjolkan oleh para pelakon baru termasuk Bill Skarsgard yang menjayakan watak Pennywise dalam filem tersebut.

Sekuel filem seram itu juga telah direncanakan di mana Gary Dauberman dipercayai bakal kembali menulis skrip filem itu dan Andy Mushietti juga bertindak sebagai pengarah.