Itali belasah Leichtenstein 4-0

Itali belasah Leichtenstein 4-0

VADUZ, Liechtenstein, 13 Nov – Andrea Belotti merembat dua gol ketika Itali membelasah Liechtenstein 4-0 dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018 di laman lawan, awal pagi tadi.

Ciro Immobile dan Antonio Candreva melengkapkan jumlah gol yang keempat-empatnya dijaringkan pada babak pertama dengan Itali kini menyamakan kedudukan bersama Sepanyol dalam Kumpulan G.

Kedua-dua pasukan pilihan itu kini mengumpul 10 mata daripada empat perlawanan dengan Sepanyol menghuni kedudukan teratas dan dibezakan dengan jumlah jaringan.

Itali menjaringkan gol pertama yang berpunca daripada sepakan sudut dengan tandukan susulan Alessio Romagnoli berjaya disambar Belotti di depan gawang seawal minit ke-11.

Belotti kemudian menjadi perancang kepada gol kedua pelawat seminit kemudian apabila tandukannya berpunca daripada sepakan percuma tepat di laluan Immobile yang tidak bermasalah menewaskan penjaga gol Liechtenstein, Peter Jehle.

Andrea Belotti ketika beraksi di depan gawang lawan. - AFP
Andrea Belotti ketika beraksi di depan gawang lawan. – AFP

Itali yang bermain dengan formasi baharu 4-4-2 terus menghuru-harakan pertahanan lawan yang menyaksikan Candreva menjaringkan gol ketiga pada minit ke-32 menerusi hantaran baik Mattia De Sciglio.

Belotti melengkapkan jumlah jaringan Itali seminit sebelum babak pertama berakhir selepas bijak melakukan larian lantas menyambar bola hantaran Giacomo Bonaventura.

Sekali pun terus menguasai perlawanan pada babak kedua, tiada tambahan jaringan berjaya diledakkan Itali yang jelas mencetus marah jurulatih, Giampiero Ventura.

Kekalahan menyaksikan Liechtenstein kekal di tangga tercorot kumpulan dengan empat kekalahan berturut-turut. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA