Itali benam Finland 2-0

Itali benam Finland 2-0

PARIS, 7 Jun – Itali yang juga naib juara kejohanan Euro 2012 memanaskan badan menjelang kempen edisi 2016 dengan kemenangan 2-0 ke atas Finland di Verona, awal pagi tadi.

Penalti pada babak pertama Antonio Candreva dan jaringan Daniel De Rossi pada babak kedua memberikan Azzurri pembakar semangat terbaik bagi menghadapi perlawanan pertama Kumpulan E menentang Belgium, Isnin ini.

Pemain sayap Lazio, Candreva yang dijatuhkan di kawasan penalti menyempurnakan sendiri jaringan penalti terbabit untuk meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-27.

Dia kemudian menjadi perancang kepada jaringan daripada pemain tengah, De Rossi pada minit ke-71 yang dijangka memberi bayangan kepada jentera tengah yang bakal digunakan bakal bos Chelsea, Antonio Conte menjelang perlawanan pembukaan minggu depan di Lyon.

Itali yang juga juara pada 1968 sebelum ini menewaskan Scotland, minggu lalu akan tiba di Perancis pada Khamis ini dengan kem pasukan terletak di Montpellier.

Antonio Candreva (kanan) meraikan jaringan penaltinya pada perlawanan itu. – AFP
Antonio Candreva (kanan) meraikan jaringan penaltinya pada perlawanan itu. – AFP

Sejak tewas di pentas final kepada Sepanyol empat tahun lalu di Kiev, Itali terus mencetus duka di pentas antarabangsa apabila terkeluar pada pusingan pertama Piala Dunia di Brazil pada 2014.

Selepas perlawanan pembukaan Euro menentang Belgium, Itali dijadual bertemu Sweden pada 17 Jun di Toulouse diikuti aksi bertemu Republik Ireland di Lille, empat hari kemudian.

Dalam dua lagi aksi pemanas badan, awal pagi tadi, Poland yang tidak menggunakan khidmat penyerang bintang, Robert Lewandowski diikat 0-0 oleh Lithuania di Krakow.

Di Euro 2016, Poland diundi dalam Kumpulan C dan dijadual bertemu Ireland Utara pada Ahad ini diikuti Jerman, 16 Jun dan Ukraine pada 21 Jun.

Iceland dalam pada itu mudah menewaskan Liechtenstein 4-0 dengan gol-gol dijaringkan Kolbeinn Sigthorsson (m10) Birkir Mar Saevarsson (m20) Alfred Finnbogason (m41) dan Eidur Gudjohnsen (m82).

Di Euro nanti, Iceland diletakkan dalam Kumpulan F bersama Austria, Hungary dan Portugal. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA