Itali: Hadapi Jerman seperti daki Everest

Itali: Hadapi Jerman seperti daki Everest

MARSEILLE, 30 Jun (AFP) – Menewaskan juara dunia, Jerman untuk menempah tiket ke separuh akhir di Euro 2016 adalah seperti mendaki Gunung Everest, tetapi pasukan Itali sudah bersedia untuk itu, kata Alessandro Florenzi.

“Kami sudah mendaki beberapa gunung di sini dan kini akan berdepan Everest pula. Tetapi kami adalah sebuah pasukan dan kami mampu mencapai sesuatu yang hebat di sini,” kata pemain tengah AS Roma itu.

Pasukan Antonio Conte berjaya mengejutkan ramai sekali gus menidakkan ramalan awal apabila memenangi Kumpulan E selepas menewaskan Belgium 2-0.

Mereka turut menundukkan juara bertahan, Sepanyol pada Isnin lalu untuk melangkah ke pusingan suku akhir di Bordeaux, bertemu juara dunia yang dibimbing Joachim Loew.

(Dari kiri) Pemain Itali Ciro Immobile, Giorgio Chiellini , Alessandro Florenzi dan Lorenzo Insigne memanaskan badan sebelum menjalani latihan di Montpellier kelmarin. – AFP
(Dari kiri) Pemain Itali Ciro Immobile, Giorgio Chiellini , Alessandro Florenzi dan Lorenzo Insigne memanaskan badan sebelum menjalani latihan di Montpellier kelmarin. – AFP

UEFA-Euro-2016-Logo

Di atas kertas, nasib Jerman masih belum pasti dalam pertemuan itu. Mereka adalah satu-satunya pasukan di suku akhir yang tidak bolos walaupun satu gol dan bagi peminat, memori terhadap kemenangan 7-1 kepada Brazil dalam perjalanan memenangi Piala Dunia 2014 masih kekal segar.

Skuad Die Mannschaft bagaimanapun masih mengejar kemenangan pertama menewaskan Azzurri dalam kejohanan utama selepas sembilan percubaan.

Meskipun memperoleh motivasi daripada kemenangan 3-0 kepada Slovakia dalam pusingan 16 terakhir, pertahanan Jerman, Mats Hummels berkata: “Itali bukanlah Slovakia dan kami sedar yang kami perlu melakukan yang lebih dalam perlawanan itu.”

ARTIKEL YANG SAMA