Itali ke pusingan seterusnya

Itali ke pusingan seterusnya

Oleh Adiman HT

TOLOUSE, Perancis, 17 Jun – Gol tunggal Itali yang dijaringkan oleh Eder pada minit ke-88 sudah mencukupi untuk membawa pasukannya mara ke pusingan seterusnya apabila menewaskan Sweden 1-0 dalam perlawanan Kumpulan E di Stadium Municipal, sebentar tadi, di sini.

Kekebalan benteng pertahanan masing-masing nampaknya membuatkan perlawanan kelihatan sengit apabila hanya beberapa rembatan sahaja dilepaskan oleh kedua-dua pasukan di mana Itali membuat tiga percubaan tepat ke gawang lawan, sementara Sweden juga melakukan tiga percubaan, namun tidak tepat ke arah sasaran.

Eder, 29, yang bermain di kelab Inter Milan secara pinjaman dari Sampdoria membawa bola secara solo ke pertahanan Sweden melepasi beberapa pemain pertahanan sebelum membuat rembatan kencang masuk ke gawang Sweden.

Dengan gol tersebut, Sweden mula melakukan beberapa serangan balas ke arah Itali, namun benteng kuat Itali nampaknya berkesan dan keputusan kekal hingga wisel penamat.

Eder meraikan jaringannya bersama rakan sepasukannya. – AFP
Eder meraikan jaringannya bersama rakan sepasukannya. – AFP

UEFA-Euro-2016-Logo

Harapan kapten pasukan Sweden, Zlatan Ibrahimovic untuk membuat jaringan dalam saingan Euro 2016 sekali lagi dihampakan dan kini pasukannya hanya mengumpul satu mata daripada dua perlawanan, manakala Itali yang mengumpul enam mata daripada dua perlawanan sudah mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya.

Sweden kini perlu menang pada perlawanan seterusnya apabila menentang Belgium untuk mendapatkan sedikit peluang kemaraan pada 23 Jun ini bergantung dengan keputusan di antara Belgium dan Ireland esok malam waktu Brunei, dan Itali pula akan berdepan Ireland dalam usahanya untuk mengumpul sembilan mata penuh 23 Jun ini.

ARTIKEL YANG SAMA