Itali langkah kanan

Itali langkah kanan

HAIFA, Israel, 6 Sept – Itali yang terpaksa beraksi 10 orang, memulakan kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dengan langkah kanan apabila menewaskan Israel 3-1 kelmarin, sekali gus terukir sebagai kemenangan pertama jurulatih baru Azzurri, Giampiero Ventura.

“Saya tidak mengatakan persembahan kami sempurna kerana kami dibolosi sama seperti ketika bertemu Perancis (dalam aksi persahabatan minggu lalu). Kami bekerja sebagai satu pasukan, tewas sebagai satu pasukan dan menang sebagai satu pasukan,” kata pengendali 68 tahun itu.

Itali mengejutkan tuan rumah apabila penyerang Shandong Luneng, Graziano Pelle menolak masuk gol pertama melepas penjaga gol Israel Dudu Goresh pada minit ke-14. Pada minit ke-31, Itali mendapat sepakan penalti kontroversi selepas pertahanan Israel Ben Bitton menjatuhkan Giacomo Bonaventura.

Antonio Candreva menyempurnakan sepakan berkenaan. Selepas Itali menguasai 35 minit pertama permainan, pemain sayap Israel Tal Ben Haim merapatkan jurang menerusi sepakan lambung menarik.

Israel memulakan babak kedua dengan penuh keyakinan dan beberapa kali berjaya menguji kehebatan penjaga gol Itali Gianluigi Buffon.

Ventura menjerit memberikan arahan kepada pemainnya semasa mementang Israel di Haifa untuk kelayakan Piala Dunia Kumpulan G, kelmarin. – AP
Ventura menjerit memberikan arahan kepada pemainnya semasa mementang Israel di Haifa untuk kelayakan Piala Dunia Kumpulan G, kelmarin. – AP

Peluang tuan rumah menyamakan kedudukan tampak cerah apabila Itali terpaksa beraksi 10 orang pada minit ke-55 selepas pertahanan veteran Girgio Chiellini dilayangkan kad kuning kedua.

Ia adalah kad merah pertama Chiellini sepanjang 90 penampilannya bersama Itali. Bagaimanapun di sebalik keghairahan Israel memburu gol penyamaan, Itali mengesahkan kemenangan dengan gol ketiga pada minit ke-83 menerusi Ciro Immobile.

“Kami berada dalam kumpulan sukar dan malang sekali hanya pasukan teratas akan layak. Kunjungan ini amat sukar tetapi kami berjaya mengutip tiga mata penuh,” kata Immobile, 26, yang pasukannya akan bertemu Sepanyol bulan depan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA