Itali patah badi La Roja

Itali patah badi La Roja

SAINT-DENIS, 28 Jun (AP) – Era penguasaan Sepanyol di pentas bola sepak Eropah berakhir selepas disingkirkan Itali 2-0 dalam pertemuan peringkat 16 terbaik, pagi tadi.

Itali berhak menang saingan berkenaan dengan mempamer permulaan yang baik di Stadium Stade de France, dengan mengasak kubu Sepanyol dengan cubaan yang cantik.

Kejayaan itu membolehkan Itali mengelak badi tersingkir awal di tangan juara bertahan itu dan bakal bertemu musuh lama Jerman di suku akhir.

Turut mara ke suku akhir ialah Perancis dan Iceland yang mengejutkan pasukan pilihan, England 2-1.

“Ia adalah prestasi yang sangat baik. Mereka melaksanakan tugas dengan sempurna sekali malam tadi. Mereka adalah lelaki dan pemain bola sepak yang hebat,” kata pengurus Itali, Antonio Conte.

Saat Chiellini (dua kanan) mengintai peluang untuk jaringan pertama Itali ketika menentang Sepanyol di Stade de France kelmarin. – AFP
Saat Chiellini (dua kanan) mengintai peluang untuk jaringan pertama Itali ketika menentang Sepanyol di Stade de France kelmarin. – AFP

UEFA-Euro-2016-Logo

Giorgio Chiellini, meletakkan Itali di depan seawal minit ke-33 yang mencetus kebangkitan untuk membalas dendam kekalahan pada kempen 2012.

“Ada beberapa perlawanan yang kami perlu lunaskan dendam. Kami juga mahukan kemenangan dan berhak memenanginya,” kata Chiellini, seorang daripada pemain Itali yang pernah dua kali diaibkan Sepanyol sebelum ini.

Ketika Sepanyol dilihat meningkat asakan untuk penyamaan, Graziano Pelle mencetak gol kemenangan Azzuri lewat permainan selepas menyudahkan hantaran lintang Matteo Darmian.

“Kami perlu menerima kekalahan ini dan terus bangkit selepas ini. Dalam bola sepak, pihak lawan ada kalanya menjadi lebih bagus, tetapi ini bukan bermakna kami tidak bermain bersungguh-sungguh,” kata Vicente Del Bosque.

Kejayaan pagi tadi juga kemenangan pertama Itali menewaskan La Roja di pentas Euro sejak dimalukan Sepanyol 4-0 pada final edisi sama pada 2012.

ARTIKEL YANG SAMA