Itali siasat penyelewengan binaan susulan gempa

Itali siasat penyelewengan binaan susulan gempa

AMATRICE, Itali, 29 Ogos – Pihak berkuasa Itali berdebat bagaimana untuk menyediakan lebih banyak perumahan selepas insiden gempa bumi yang mengakibatkan ramai daripada mereka kehilangan tempat tinggal dan kini tinggal sementara di khemah di pergunungan Appenine.

Dalam pada itu, pasukan penyiasat bencana gempa bumi juga telah memulakan penyiasaan kemungkinan wujud elemen kecuaian atau penipuan dalam kod binaan bangunan sehingga mengakibatkan jumlah korban yang tinggi.

Gempa yang melanda Rabu lalu itu membunuh 290 penduduk dan mencederakan ratusan yang lain selepas meranapkan tiga bandar yang wujud sejak abad pertengahan di tengah Itali.

Pendakwa ibu kota rantau Rieti, Giuseppe Saieva, berkata angka korban yang tinggi tidak boleh dianggap sebagai takdir semata-mata.”

Penyiasat kini sedang memfokus kepada sejumlah struktur termasuk sebuah sekolah rendah di Amatrice yang runtuh walaupun sudah diubahsuai pada 2012 untuk bertahan dalam gempa bumi dengan kos STG700,000.

Sekolah berkenaan kosong ketika kejadian, namun ramai yang terkejut kerana ia tidak dapat menahan gempa bumi dengan kekuatan 6.2 magnitud.

Selepas seluruh kelas gred satu dan seorang guru terbunuh dalam gempa bumi pada 2002 di San Giuliano dekat Puglia, pihak berkuasa Itali berikrar untuk memastikan keselamatan sekolah, hospital dan institusi kritikal lain.

Menara loceng di Accumoli yang runtuh turut mengundang persoalan, selepas ia mengorbankan empat sekeluarga yang sedang tidur di kejiranan berhampiran, termasuk seorang bayi 8 bulan dan seorang kanak-kanak berumur 7 tahun.

Menara loceng itu juga baru-baru ini dipulihkan menggunakan dana khas yang diperuntukkan selepas gempa bumi besar terakhir Itali yang melanda berdekatan L’Aquila pada 2009.

Pendakwa anti keganasan kebangsaan Itali, Franco Roberti, berkata jika bangunan dibina mengikut peraturan-peraturan bagi zon gempa bumi, bahagian bangunan boleh rosak dan retak tetapi ia tidak akan hancur dan berkecai. – AP