Itali yakin mampu benam La Roja

Itali yakin mampu benam La Roja

MONTPELLIER, 24 Jun (AFP) – Selepas diaibkan Republik Ireland, Itali bakal mempertaruhkan semula senjata utamanya dalam menghadapi pertemuan bersejarah menentang Sepanyol di pusingan 16 terakhir Euro 2016.

Skuad Ireland dikendalikan oleh Martin O’Neill menampilkan persembahan bertenaga di Lille kelmarin untuk menamatkan rekod kemenangan Azzurri dalam saingan Kumpulan E.

Di atas padang yang diakui UEFA mengalami ‘kerosakan yang tidak boleh diperbaiki semula’ skuad Itali yang menurunkan rata-ratanya pemain simpanannya bergelut dengan permainan hantaran jauh Ireland sebelum tunduk 1-0 hasil jaringan lewat permainan Robbie Brady.

Persembahan Itali mencetuskan kebimbangan terhadap penyokongnya bahawa anak-anak buah Antonio Conte mungkin tidak mampu bangkit pada masanya untuk berdepan juara bertahan dua kali berturut-turut Sepanyol pada lewat malam Selasa nanti.

Namun penyerang Napoli, Lorenzo Insigne, yang percubaannya terkena palang selepas dimasukkan sebagai pemain gantian, menegaskan Itali mempunyai keyakinan betapa mereka mampu menumpaskan Sepanyol dalam aksi di Stade de France di Paris.

Pemain Itali menjalani latihan di Bernard Gasset Centre di Montepellier sebagai persediaan menentang Sepanyol Isnin ini. – AP
Pemain Itali menjalani latihan di Bernard Gasset Centre di Montepellier sebagai persediaan menentang Sepanyol Isnin ini. – AP

UEFA-Euro-2016-Logo

Ditanya lapan pertukaran yang dibuat ke atas pasukan yang menewaskan Sweden 1-0, dia berkata: “Ia tidak penting siapa yang bermain. Itali mempunyai skuad yang hebat, kami semua berada dalam satu perahu dan mendayung ke arah yang sama.

“Saya tidak sabar untuk pertemuan Selasa ini. Ia akan menjadi perlawanan yang penting tetapi saya yakin kami akan melangkah ke pusingan seterusnya.”

Conte mengeluarkan penjaga gol Gianluigi Buffon, Giorgio Chiellini (pertahanan), Daniele De Rossi, Emanuele Giaccherini dan Antonio Candreva (tengah) serta Graziono Pelle dan Eder (penyerang) untuk pertemuan terakhir kumpulan menentang Ireland sebelum ini.

Insigne sebaliknya menegaskan kekalahan kepada Ireland bukannya berpunca daripada percaturan Conte menyenaraikan barisan keduanya.

“Ia bukan kes kami merindui kelibat pemain utama,” tambahnya. “Sebenarnya keadaan padang yang menyukarkan kami, kekuatan fizikal juga memberikan masalah buat kami termasuk taktikal hantaran jauh mereka. Kami tidak biasa dengan keadaan itu.”

Dalam lima pertemuan di kejohanan utama, termasuk di Piala Konfederasi, rekod lebih memihak kepada Sepanyol dengan tiga kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.

Anak-anak buah Vicente del Bosque meratah Itali 4-0 di pentas final Euro 2012, empat tahun selepas La Roja menundukkan Itali di peringkat suku akhir menerusi penentuan penalti.

ARTIKEL YANG SAMA