ITB belasah UNISSA 6-1

ITB belasah UNISSA 6-1

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mei – Malam pembukaan rasmi Piala Universiti (Unicup) BIBD At-Tamwil 2015 menyaksikan finalis edisi pertama, ITB, mempamerkan hasratnya untuk mencatat keputusan lebih baik pada edisi kedua ini apabila membelasah UNISSA 6-1.

Dalam aksi Kumpulan A di Stadium Negara Hassanal Bolkiah berkenaan perlawanan kelihatan seimbang dalam 25 minit pertama perlawanan tatkala kedudukan terikat 1-1, dengan ITB lebih awal mendahului 1-0 menerusi jaringan Md Hafiy bin Danan pada minit keempat sebelum disamakan oleh Ahmad Syukri bin Haji Baharuddin pada minit ke-16.

ITB mendahului semula pada minit ke-27 hasil jaringan Awangku Mohd Haikal bin Pengiran Zaidi. Ketika babak pertama dijangka berakhir 2-1, ITB berjaya menambah dua lagi jaringan pada tiga minit terakhir untuk menyudahkan babak pertama 4-1.

Gol ketiga ITB disumbangkan oleh Naasirudden bin Abdul Wahab pada minit ke-42, manakala gol keempatnya dijaringkan oleh ketua pasukannya, Norfaez bin Awang Sayang.

Ketua Pasukan ITB, Norfaez (biru) menjaringkan satu gol ketika memimpin ITB membenam UNISSA 6-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan A.
Ketua Pasukan ITB, Norfaez (biru) menjaringkan satu gol ketika memimpin ITB membenam UNISSA 6-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan A.

Sembilan minit selepas rehat menyaksikan Naasirudden berjaya meledakkan jaringan kedua peribadinya untuk membawa ITB terus selesa mendahului, dengan jaringan 5-1.

Kontroversi melanda pada minit ke-75 apabila jurulatih dan pemain UNISSA berbalah dengan pembantu pengadil kerana tidak memberikan ofsaid kepada Salfira bin Tamimi yang pada tanggapan mereka dalam kedudukan ofsaid semasa menjaringkan gol keenam ITB.

Ketinggalan 6-1 umpama gunung yang sukar didaki para pemain UNISSA dan kesudahannya kedudukan itu kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat perlawanan bagi memberikan ITB tiga mata pertamanya.