ITB dinamakan semula sebagai UTB

ITB dinamakan semula sebagai UTB

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mac – Institut Teknologi Brunei (ITB) mencatat sejarah apabila ia dinamakan semula sebagai Universiti Teknologi Brunei (UTB).

Majlis pelancaran penamaan itu dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Naib Canselor UTB, Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman dalam ucapannya pada majlis itu menyatakan bahawa pertukaran nama tersebut satu lagi mercu tanda yang signifikan bagi institut pendidikan tinggi ketika ia meraikan ulang tahun ke-30 penubuhannya.

“Sebagai sebuah universiti yang masih baru, pertukaran nama itu dijangka akan membuka peluang perkembangan yang lebih besar. Dengan nama baru ini, universiti telah meletakkan harapan yang tinggi untuk bersaing dalam arena pendidikan tinggi pada peringkat antarabangsa mahu pun serantau.

“Nama baru itu akan menamatkan kekeliruan sebagai satu lagi institusi pendidikan tinggi yang juga memiliki akronim pemasaran sama tanpa perlu menjelaskan lebih lanjut bahawa ia sebuah universiti,” tambah beliau.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi menerima pin baru UTB daripada Haji Ady Syarmin sambil disaksikan oleh Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi menerima pin baru UTB daripada Haji Ady Syarmin sambil disaksikan oleh Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah.

“Kami sedar ITB ditukar kepada universiti lapan tahun lalu dan nama baru UTB dilakukan sebagai satu pengiktirafan kematangan dan keupayaan institusi tersebut.

“Pengekalan standard dan keyakinan adalah tanggungjawab yang mesti dikongsi oleh semua di UTB dengan peringkat komitmen yang tinggi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Antarabangsa dan Pejabat Hubungan Awam UTB, Haji Ady Syarmin bin Haji Mohd Taib berkata, “Tahun lepas kami membuat tinjauan bagi menamakan semula ITB dan majoriti mahukan nama baru sebagai Universiti Teknologi Brunei.

“Nama baru itu diserahkan kepada Majlis Universiti dan telah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Kami telah mula menggunakan UTB bermula 1 Mac tahun ini.

Pada masa ini, UTB menawarkan 20 kursus ijazah sarjana muda, lima program sarjana begitu juga dengan sarjana penyelidikan dan program PhD.

Ditanya mengenai program baru yang sedang dirancang oleh UTB, beliau berkata, “Kami perlu mengadakan perbincangan bersama pihak berkepentingan untuk memahami sama ada perlu untuk memperkenalkan program-program baru.”

Kampus UTB dengan nama barunya.
Kampus UTB dengan nama barunya.

Ketika ia meraikan ulang tahun yang ke-30 penubuhannya, UTB meneruskan misinya untuk memberikan pembelajaran, meningkatkan penyelidikan, mengukuhkan perkongsian dan menyediakan graduan-graduan untuk memenuhi permintaan bagi pasaran pekerjaan yang kompetitif di samping merealisasikan Visi 2035.

UTB ditubuhkan pada 1986 dengan pengambilan pertama seramai 57 orang penuntut. Sehingga kini, jurutera kebangsaan dan universiti teknologi telah menghasilkan 5,006 orang graduan.

Hari ini, UTB merupakan tempat bagi 2,169 orang penuntut dan 145 ahli fakulti. Pada 18 Oktober 2008, UTB secara rasminya ditukar menjadi universiti oleh Baginda Sultan.

Sejak itu, perkembangan UTB melibatkan perkembangan terhadap program portfolio akademik, penubuhan perkongsian bersama industri-industri dan universiti, program pentauliahan oleh badan-badan profesional dan memperhebatkan aktiviti-aktiviti penyelidikan.

UTB juga menghasilkan perkembangan dalam penyelidikan yang signifikan. Usaha penyelidikannya memfokuskan tiga bidang penyelidikan iaitu minyak dan gas, teknologi hijau dan air.

Pusat Pengangkutan dan Penyelidikan UTB (CfTR) telah ditubuhkan untuk menjalankan kegiatan penyelidikan melibatkan kajian dasar, permodelan pengangkutan dan sistem pengangkutan pintar dan fokus kepada bidang-bidang keselamatan pengangkutan, lebuh raya dan geoteknik dan lalu lintas.

Pusat Inovatif Kejuruteraan yang baru ditubuhkan itu bertujuan untuk menjadi pusat bagi pelbagai bidang dan penterjemahan penyelidikan yang inovatif.

ARTIKEL YANG SAMA