ITB hargai staf cemerlang

ITB hargai staf cemerlang

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Ogos – Peranan institusi pengajian tinggi terus mencabar yang mana ia bukan sahaja dilihat sebagai pusat ilmu pengetahuan tetapi juga harus memberikan perkhidmatan kepada permintaan sumber manusia negara yang semakin meningkat serta bertanggungjawab bagi memastikan graduan yang dilahirkan berkualiti tinggi.

Graduan yang dilahirkan tidak lagi dipandang sebagai cuma pencari kerja tetapi penjana kerja dan graduan yang berkualiti itu hasil daripada guru, penyelidik dan suasana pembelajaran yang kondusif serta cemerlang.

Peranan penting institusi pengajian tinggi itu ditekankan oleh Naib Canselor Institut Teknologi Brunei (ITB), Profesor Madya Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman ketika berucap di Majlis Anugerah Staf Cemerlang ITB 2015 yang berlangsung di Dewan Serba Guna ITB, kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian anugerah itu ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar bergambar ramai dengan pemenang Anugerah Staf Cemerlang ITB 2015.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar bergambar ramai dengan pemenang Anugerah Staf Cemerlang ITB 2015.
Yang Berhormat Pehin dan Dato Seri Setia Haji Yusoff yang menghadiri majlis berkenaan.
Yang Berhormat Pehin dan Dato Seri Setia Haji Yusoff yang menghadiri majlis berkenaan.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Dato Seri Setia Haji Yusoff bin Haji Ismail, pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan, para pegawai, pensyarah serta staf dari ITB.

Dr Hajah Zohrah berkata Anugerah Staf Cemerlang 2015 adalah penghargaan kepada staf akademik dan bukan akademik yang berusaha untuk mencapai kecemerlangan serta merupakan satu lagi mercu tanda dalam perjalanan ITB menuju ke visinya, untuk menjadi di antara 10 buah universiti terbaik bagi kejuruteraan dan teknologi di Asia Tenggara menjelang 2018.

Beliau menambah lagi bahawa penganugerahan anugerah-anugerah kepada para penerima memberikan mesej yang kuat kepada semua staf ITB untuk menghargai dan mengenali kecemerlangan di setiap peringkat di institusi berkenaan.

Acara kemuncak majlis berkenaan ialah penyampaian anugerah-anugerah staf cemerlang kepada para penerima yang mana bagi Anugerah Kecemerlangan Akademik dibahagikan kepada dua kategori iaitu Anugerah Pengajaran Cemerlang yang diberikan kepada Pensyarah, ITB School of Business, Dr Hajah Noor Maya binti Haji Mohd Salleh dan Anugerah Kecemerlangan Penyelidikan bagi Kerjaya Akademik Kanan kepada Pensyarah Kanan, School of Computing and Informatics, Dr Haji Afzaal Seyal.

Sementara itu, bagi Anugerah Staf Cemerlang Bukan Akademik, ia dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Anugerah Kecemerlangan Pentadbiran bagi Pengurusan dan Profesional (Divisyen I & II), yang diberikan kepada Penolong Pendaftar, Quality Assurance Unit, Dayangku Siti Ariana binti Pengiran Haji Yusof, Kategori Anugerah Kecemerlangan Pentadbiran bagi Staf Sokongan Pentadbiran (Divisyen III, IV dan V) diberikan kepada Kerani Pejabat Pendaftar, Majdiah binti Haji Md Yusof dan Kategori Kecemerlangan Pentadbiran bagi Jurutera (Divisyen III, IV dan V) kepada Penolong Ketua Teknikal, Pejabat Estet, Pengiran Siti Awa binti Pengiran Haji Mahmud.

Para penerima anugerah-anugerah berkenaan menyatakan perasaan gembira dan syukur atas penganugerahan itu, mereka berkata bukan sahaja anugerah itu sebagai tanda penghargaan kepada mereka tetapi ia merupakan pembakar semangat bagi mereka untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik bagi membantu ITB mencapai visinya dan untuk melahirkan graduan yang menjadi harapan bangsa dan negara di masa akan datang.

Majlis itu juga diserikan lagi dengan Sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi staf dan kakitangan ITB di mana para hadirin berpeluang untuk menikmati pelbagai hidangan juadah serta juga mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara mereka.

ARTIKEL YANG SAMA