ITB jenamakan semula imej

ITB jenamakan semula imej

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jan – Institut Teknologi Brunei (ITB) menjenamakan semula imejnya selepas 30 tahun penubuhan bagi meningkatkan pendidikan, penyelidikan dan memastikan kebolehpasaran graduannya menjelang Wawasan Negara 2035.

Hadir menyempurnakan pelancaran penjenamaan itu ialah Naib Canselor ITB, Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman di Dewan Pearl institusi itu hari ini.

Pengarah Pejabat Perhubungan Awam dan Antarabangsa, Haji Ady Syarmin bin Haji Mohd Taib semasa ucapan alu-aluan mengatakan, penjenamaan baru ITB diharap akan dapat membawa identiti ITB secara lebih konsisten terutama dalam hubungan di dalam mahupun luar negara, selaras dengan tujuan penjenamaan itu.

Menurutnya, perubahan identiti ITB itu menyerlahkan aspirasi, teknologi, inovasi dan profesionalisme yang melengkapkan lagi usaha ITB menjadi institusi pendidikan bereputasi di rantau Asia.

Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah melancarkan Penjenamaan baru ITB yang berlangsung kelmarin, mencatatkan satu lagi sejarah baru bagi institusi itu.
Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah melancarkan Penjenamaan baru ITB yang berlangsung kelmarin, mencatatkan satu lagi sejarah baru bagi institusi itu.
Logo ITB kedua dengan tagline ‘Ready to Launch’ mempunyai misi untuk memberikan pengalaman pembelajaran, peningkatan dalam penyelidikan dan hubungan kerjasama.
Logo ITB kedua dengan tagline ‘Ready to Launch’ mempunyai misi untuk memberikan pengalaman pembelajaran, peningkatan dalam penyelidikan dan hubungan kerjasama.

“Logo ITB kedua dengan tagline ‘Ready to Launch’ mempunyai misi untuk memberikan pengalaman pembelajaran, peningkatan dalam penyelidikan dan hubungan kerjasama. ITB juga menyimpan aspirasi menjadi 10 universiti kejuruteraan dan teknologi terbaik di Asia Tenggara menjelang 2018,” tambahnya.

Untuk mencapai visi tersebut, ITB komited memenuhi wawasan melahirkan pelajar serba boleh yang turut mempunyai tanggungjawab sosial dan ekonomi, kebolehpasaran dan nilai Melayu Islam Beraja (MIB) yang kukuh, tambahnya.

Majlis kemudian diisikan dengan taklimat multimedia penjenamaan baru, disusuli lawatan ke pameran mini Galeri ITB yang menumpukan penjenamaan baru ITB, penerangan logo dan sebagainya.

ARTIKEL YANG SAMA