ITB julang Piala Universiti

ITB julang Piala Universiti

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jun – Institut Teknologi Brunei (ITB) merangkul Piala Universiti BIBD At-Tamwil (Unicup) 2015 dalam percubaan keduanya malam tadi setelah melakukan kebangkitan dramatik sebelum mengecewakan Kolej International Graduate Studies (IGS) 3-2.

Sementara dalam perlawanan penentuan pingat gangsa malam sebelumnya di Stadium Hassanal Bolkiah, Ibu Pejabat Polis, Gadong, Universiti Brunei Darussalam (UBD) mengubat kelukaan gagal mara ke final dengan mengalahkan Cosmopolitan College of Commerce & Technology 2-1 untuk memenangi tempat ketiga.

Hadir menonton perlawanan dan seterusnya menyempurnakan penyampaian piala dan pingat kepada tiga pasukan terbaik kejohanan ialah Timbalan Menteri Kewangan, Dato Paduka Awang Haji Bahrin bin Abdullah selaku Pengerusi Lembaga Pengarah BIBD.

Selain piala iringan dan pingat, juara juga membawa pulang piala rebutan dan hadiah wang tunai $5,000, manakala naib juara menerima hadiah wang tunai $4000 dan tempat ketiga pula $3000.

Tiga lagi anugerah telah disediakan iaitu Permainan Adil yang dimenangi Universiti Curtin, Sarawak, Pemain Paling Bernilai yang diberikan kepada perancang tengah ITB, Awangku Mohamad Haikal bin Pengiran Zaidi dan Penjaga Gol Terbaik yang dimenangi penjaga gol Kolej IGS, Ron Junior Philip.

Naasiruddeen menjulang Piala Rebutan UniCup bersama rakan sepasukan selepas menewaskan IGS semalam.
Naasiruddeen menjulang Piala Rebutan UniCup bersama rakan sepasukan selepas menewaskan IGS semalam.

Aksi dalam hujan lebat di Stadium Negara Hassanal Bolkiah itu seakan-akan menyaksikan ulangan final dua tahun lalu apabila ITB sudah ketinggalan 0-2 ketika perlawanan baru berlangsung 21 minit. Kolej IGS tidak mengharapkan permulaan lebih baik daripada jaringan seawal minit ketiga Muhammad Farriz bin Saralfari untuk gol pertamanya sebelum digandakan oleh ketua pasukan, Awangku Muhammad Naqib bin Pengiran Timbang 18 minit kemudian.

ITB mula melakukan serangan berpaksi daripada penerima Anugerah Pemain Paling Bernilai Unicup2015, Awangku Mohamad Haikal sehingga membuahkan jaringan pertama Muhammad Hafiy bin Danan pada minit ke-31, disusuli jaringan Norfaez bin Awang Sayang empat minit kemudian yang sekali gus menjadikan kedudukan 2-2.

ITB tidak menunggu lama untuk memimpin apabila menggegar gawang Kolej IGS dua minit selepas rehat menerusi Awangku Mohamad Haikal, yang terbukti menjadi gol terakhir perlawanan.

ARTIKEL YANG SAMA