ITB mara ke final Piala Universiti

ITB mara ke final Piala Universiti

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jun – Muhammad Hafiy bin Danan menjaringkan satu gol pada setiap separuh masa untuk muncul wira Institut Teknologi Brunei (ITB) melangkah ke final Piala Universiti (Unicup) BIBD At-Tamwil 2015.

Dua golnya pada separuh akhir di Kompleks Sukan Berakas itu sudah cukup untuk ITB menjuarai Kumpulan A dengan menjinakkan naib juara Kumpulan B, Cosmopolitan College of Commerce & Technology (Cosmo) 2-0 sekali gus mencatat sejarah mara ke final Unicup dua kali berturut-turut.

Muhammad Hafiy menemui sasarannya seawal minit ke-10 untuk mempertingkat keyakinan rakan sepasukannya dengan jaringan 1-0, yang kekal sehingga separuh masa pertama selesai.

ITB terus mengasak pertahanan Cosmo dan pada minit kedua permainan telah berjaya mendapatkan sepakan sudut di sebelah sayap kanannya namun dalam perebutan bola di udara, pemain ITB dipersalahkan mengasari penjaga gol Cosmo, Ahmad Fuad bin Haji Hassan.

Ahmad Fuad mengambil sepakan percuma di dalam petaknya sendiri itu dan bola tendangannya berjaya ditampan kemas dengan dada oleh Awangku Abdul Mu’iz Fadhullah bin Pengiran Zaidi yang kemudian berlari membawa bola ke depan sebelum melorongkan bola ke kanan kepada Muhammad Hafiy.

Md Hafiy (kiri) memerhatikan bola tendangannya menuju gawang Cosmo untuk gol kedua ITB semalam.
Md Hafiy (kiri) memerhatikan bola tendangannya menuju gawang Cosmo untuk gol kedua ITB semalam.

Muhammad Hafiy berlari pantas sambil pertahanan Cosmo, Awangku Ahmad Sofhi bin Pengiran Idris berlari menyainginya namun Muhammad Hafiy lebih pantas dan berjaya meninggalkan Awangku Ahmad Sofhi untuk berdepan dengan Ahmad Fuad.

Ahmad Fuad meluru ke depan namun Muhammad Hafiy bijak melambungkan bola ke atas tatkala Ahmad Fuad bergerak ke kanan merebahkan kaki kanannya ke depan dan kaki kirinya ke belakang sambil mengangkat kedua-dua tangannya.

Bola sepakan Muhammad Hafiy itu melayang perlahan menuju sudut kanan gawang Cosmo dan ketika bola hampir masuk Awangku Abdul Mu’iz Fadhullah tiba di depan gawang untuk memastikan bola masuk dan ternyata bola menerjah gawang betul-betul di belakang tiang kanan tanpa sentuhannya untuk jaringan kedua peribadi Muhammad Hafiy pada minit ke-48.

Kini ITB hanya perlu menunggu keputusan satu lagi perlawanan separuh akhir antara lawannya pada final edisi pertama Unicup iaitu juara bertahan, Universiti Brunei Darussalam (UBD) dengan Kolej International Graduate Studies (IGS) malam ini, sebelum mengetahui siapa lawannya pada final Sabtu nanti.