ITB mara ke separuh akhir

ITB mara ke separuh akhir

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mei – ITB menjadi pasukan pertama layak ke separuh akhir Piala Universiti (Unicup) BIBD At-Tamwil 2015 setelah mencatat kemenangan ketiga berturut-turutnya dalam Kumpulan A malam tadi, 3-1 ke atas Politeknik Brunei (PB).

Awangku Abdul Mu’iz Fadhullah bin Pengiran Zaidi memberikan permulaan baik buat ITB apabila berjaya membolosi gawang PB pada minit ketujuh, namun ketika kedudukan 1-0 bakal dibawa ke waktu rehat, Aliff bin Ali berjaya menyamakan kedudukan, 1-1 pada minit ke-42.

Separuh masa kedua di Stadium Hassanal Bolkiah, Ibu Pejabat Polis, Gadong baru berlangsung tiga minit apabila Awangku Mohamad Haikal bin Pengiran Zaidi membawa ITB ke depan semula, 2-1.

Saingan terus sengit dengan PB yang kelihatan lebih banyak melakukan serangan ketika ITB nampak lebih selesa bertahan, namun ITB mula menguasai semula bola pada sepuluh minit terakhir perlawanan sehingga beberapa kali mendapat sepakan sudut, yang salah satunya menghasilkan gol.

Sepakan sudut dari kanan gawang PB itu melambung ke kawasan penalti, yang segera disambut dengan tandukan oleh Norfaez bin Awang Sayang yang melompat tinggi melangkaui semua pemain lain.

Pemain ITB meraikan gol ketiga mereka yang dijaringkan Norfaez (dua kanan).
Pemain ITB meraikan gol ketiga mereka yang dijaringkan Norfaez (dua kanan).

Bola tandukan Norfaez itu tajam menuju sudut atas kiri gawang PB yang ternyata jauh dari jangkauan penjaga gol PB, Muhammad Nur Fitri bin Haji Suhaili sekali gus menggegar gawang bagi gol ketiga ITB tatkala masa sebenar perlawanan hanya berbaki tiga minit lagi.

Jaringan itu ternyata berjaya merudumkan semangat pemain PB yang sedari tadi ghairah mencari gol penyamaan, maka kedudukan 3-1 itu pun kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat.

Menerusi kemenangan itu, ITB terus mengukuhkan cengkaman di persada Kumpulan A dengan sembilan mata dari tiga perlawanan, disusuli UBD di tempat kedua dengan enam mata dari dua perlawanan. PB kekal di tangga ketiga dengan 3 mata dari tiga perlawanan sementara Universiti Curtin Sarawak dan UNISSA masih tanpa mata selepas dua perlawanan.

ARTIKEL YANG SAMA