ITB, UNSW meterai MoA

ITB, UNSW meterai MoA

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Nov – Institut Teknologi Brunei (ITB) telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Universiti New South Wales (UNSW), Australia bagi kerjasama untuk menawarkan program ijazah sarjana muda empat tahun dalam bidang Kejuruteraan Petroleum.

Majlis penandatanganan MoA tersebut berlangsung di kampus Kensington UNSW, di Sydney, kelmarin antara Naib Canselor ITB, Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman dan Timbalan Presiden dan Naib Canselor UNSW, Profesor Iain Martin.

Program kerjasama ITB-UNSW Pathway itu adalah mengikut format 2+2, yang mana ITB menyediakan program dua tahun pertama dan kemudian dua tahun lagi disediakan oleh UNSW. Ijazah ini akan dianugerahkan oleh UNSW.

Menurut kenyataan ITB di sini, perkongsian antara ITB dan UNSW yang juga salah sebuah universiti terkemuka di dunia, bermula dalam tahun 2009 apabila ITB buat pertama kalinya mula menawarkan program ijazah sarjana muda dalam Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Petroleum dengan format 1+3.

Bermula tahun 2012, kedua-dua program tersebut menawarkan format 2+2, sejajar dengan perkembangan kapasiti di ITB.

Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah (tengah) dan Profesor Iain Martin (empat, kanan) bergambar ramai bersama para pegawai ITB dan UNSW selepas menandatangani MoA.
Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah (tengah) dan Profesor Iain Martin (empat, kanan) bergambar ramai bersama para pegawai ITB dan UNSW selepas menandatangani MoA.
Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah ketika mengadakan sesi muzakarah bersama para pelajar di bawah ITB-UNSW.
Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah ketika mengadakan sesi muzakarah bersama para pelajar di bawah ITB-UNSW.

Menerusi pelaburan berterusan dan juga sokongan daripada kerajaan dan industri dan juga perkongsian rapat dengan UNSW, ITB juga dapat menawarkan keseluruhan empat tahun program ijazah mahasiswa ini dalam Kejuruteraan Kimia di ITB bermula Ogos 2013, menurut kenyataan itu.

Delegasi ITB yang melawat UNSW termasuklah Timbalan Dekan (Akademik) Kejuruteraan, Dr. Hajah Ena Kartina binti Haji Abdul Rahman; Ketua Pejabat Perancangan dan Perkembangan, Dr Lim Tiong Hoo; dan Timbalan Pendaftar Unit Jaminan Mutu, Dayangku Ariana binti Pengiran Haji Yusof.

Juga hadir pada majlis penandatanganan itu daripada pihak UNSW ialah Pro-Naib Canselor (Antarabangsa), Fiona Docherty; Dekan Kejuruteraan UNSW, Profesor Mark Hoffman; Ketua Sekolah Kejuruteraan Kimia, Profesor Vicki Chen; Timbalan Ketua Sekolah Kejuruteraan Petroleum, Profesor Christoph Arns; dan Pengarah Perkembangan Antarabangsa, Christopher McKenna.

Semasa lawatan ke UNSW, delegasi ITB juga mengadakan pertemuan dengan bekas para pelajar ITB yang pada masa ini dalam menyelesaikan ijazah masing-masing di UNSW di bawah penyusunan artikulasi.

ARTIKEL YANG SAMA