ITCC Penampang pusat siber terbaru

ITCC Penampang pusat siber terbaru

PENAMPANG, 10 Ogos – Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC) Penampang di sini bakal menjadi pusat siber dengan kemudahan setanding Nyang terdapat di Cyberjaya.

Pengurus Besar Kumpulan Sabanilam Enterprise Sdn Bhd Ceasar Mandela Malakun berkata pihaknya sedang membangunkan pusat seluas 200,000 kaki persegi itu, melibatkan menara pejabat 16 tingkat yang dikenali i-Office Tower.

“Kami telah memohon status Multimedia Super Corridor (MSC) daripada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan berharap lawatan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini akan melancarkan permohonan kami ini,” katanya kepada pemberita selepas lawatan Salleh ke tapak pembinaan pusat itu hari ini.

Malakun berkata dengan adanya pusat siber itu di Sabah, Sabanilam Enterprise berharap dapat memajukan industri teknologi maklumat (IT), terutama dalam dunia siber yang menawarkan banyak peluang untuk usahawan teknologi muda untuk menceburi bidang IT.

Mengenai lawatan Salleh, beliau berkata menteri itu memberi maklum balas positif terhadap projek pembinaan ITCC Penampang dan berharap syarikat itu dapat menjalin lebih banyak kerjasama dengan kerajaan untuk membangunkan sektor IT di negeri ini. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA