ITQSHHB rai pelajar cemerlang 2014

ITQSHHB rai pelajar cemerlang 2014

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mei – Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), hari ini meraikan pelajar-pelajar cemerlang bagi sesi pengajian 2014 di majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Penyampaian hadiah kepada para pelajar cemerlang terbabit disempurnakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharajalela Haji Mohd Yusof selaku tetamu kehormat.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh pelajar ITQSHHB, Awang Ahmad Rusydi bin Haji Mohd Salleh diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengetua ITQSHHB, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali.

Di majlis itu, seramai enam pelajar menerima Anugerah Imam As-Syatibi iaitu pelajar terbaik keseluruhan Peperiksaan Hafalan Al-Quran (bagi setiap tahun) Tahun 2014 sementara 78 menerima Anugerah Imam Ibnu Al-Jazari 2015 iaitu bagi pelajar yang mendapat pangkat cemerlang dalam Peperiksaan Hafalan Al-Quran tahun 2014.

Manakala itu, 36 pelajar menerima Anugerah Cemerlang Akademik bagi Peperiksaan Akhir Tahun 2014, dan 11 lagi menerima Anugerah Cemerlang Peperiksaan Awam bagi Sijil Pelajaran Ugama Brunei 2014.

Antara mereka yang menghadiri majlis berkenaan.
Antara mereka yang menghadiri majlis berkenaan.
Salah seorang pelajar yang menerima hadiah dan sijil di majlis tersebut.
Salah seorang pelajar yang menerima hadiah dan sijil di majlis tersebut.

Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Cemerlang Peperiksaan Awam BGE ‘O’ Level, iaitu empat pelajar bagi aliran sains, dan lima bagi aliran Arab.

Di majlis itu juga, dua orang (seorang lelaki dan seorang perempuan) menerima Anugerah Cemerlang Pengajian Orang Awam dan seorang menerima Anugerah Cemerlang Pengajian Al-Quran Braille. Seramai 11 pelajar turut menerima Anugerah Kehadiran Terbaik 2014.

Sejurus selepas selingan persembahan, majlis menyaksikan pengumuman dan penyampaian hadiah bagi Anugerah Pelajar Mithali yang disandang oleh Awang Ahmad Rusydi bin Haji Mohd Salleh, yang telah mengkhatamkan hafalan 30 juz Al-Quran dalam masa empat tahun lima bulan dan 13 hari.

Beliau juga lulus Ujian Tasmie Hafalan Al-Quran bagi 20 juz pada 2014 dan secara konsisten mendapat keputusan cemerlang pada tahun pengajiannya di ITQSHHB.

Selain cemerlang dalam peperiksaan dan pengajiannya beliau juga aktif dalam mewakili negara pada pertandingan menghafal Al-Quran di luar negara antaranya di Republik Arab Mesir pada tahun 2012 dan di Jordan pada tahun 2014.

ARTIKEL YANG SAMA