IWCB prihatin mangsa gempa Nepal

IWCB prihatin mangsa gempa Nepal

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Julai – Beban penderitaan mangsa gempa bumi Nepal terus mendapat perhatian, yang mana Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Nepal, hari ini, menerima sumbangan derma berjumlah $2,000 daripada Majlis Wanita Antarabangsa Negara Brunei Darussalam (IWCB) di majlis yang berlangsung di Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Hadir untuk menerima sumbangan itu ialah Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman yang disampaikan oleh Yang Di-pertua IWCB, Ungku Datin Hajah Fanzah binti Haji Osman bersama-sama ahli jawatankuasa IWCB.

Menurut Ungku Datin Hajah Fanzah, IWCB dan ahli-ahlinya terus memberikan sokongan kepada usaha kerajaan untuk prihatin dan mengutip sumbangan derma bagi tabung berkenaan untuk digunakan bagi meringankan bebanan mangsa kejadian gempa bumi di Nepal.

Beliau menyatakan harapan sumbangan derma itu dapat dihulurkan kepada para mangsa supaya mereka dapat memulakan usaha membina kehidupan mereka semula dan beliau juga menyatakan penghargaan kepada ahli-ahli IWCB atas sokongan berterusan terhadap kegiatan-kegiatan kebajikan kelab berkenaan.

Datin Paduk Hajah Adina menerima cek sumbangan bernilai $2 ribu daripada Ungku Datin Hajah Fanzah bersama-sama ahli jawatankuasa IWCB.
Datin Paduk Hajah Adina menerima cek sumbangan bernilai $2 ribu daripada Ungku Datin Hajah Fanzah bersama-sama ahli jawatankuasa IWCB.

Sumbangan itu diperoleh melalui pelbagai kegiatan kebajikan yang dikendalikan oleh IWCB termasuk majlis minum petang dan gubahan bunga yang diadakan di kediaman Anyati Abdullah Orcullo pada Mei lalu.

Semasa majlis itu, para ahli berpeluang untuk mempelajari kaedah gubahan bunga di mana semua hasil kutipan daripada acara berkenaan disumbangkan ke Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Nepal.

Sehingga hari ini, Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Nepal telah berjaya mengutip sebanyak $180, 289.11.

ARTIKEL YANG SAMA