IWK kongsi kepakaran perunding projek sungai nadi kehidupan

KUALA LUMPUR – Perlahan-lahan lif yang membawa wartawan dan jurugambar Bernama yang lengkap memakai jaket serta topi keselamatan bergerak turun 15 meter ke bawah tanah iaitu lokasi pemasangan paip pembetungan.

Turut serta ialah Pengurus Kanan Jabatan Pembangunan Perniagaan & Implementasi (BDID) Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) Muralitharan Anggamuthu dan dua orang pembantu beliau Mohd Faizal Abdul Aziz selaku Pengurus Pembinaan dan Khairul Azrin Mohd Mahidin selaku Jurutera Projek (C&S). Sampai sahaja ke dasar, udara terasa semakin hangat disambut dengan bunyi jentera yang menggunakan sistem hidraulik sedang mengorek kawasan berbatu bagi memasukkan paip pembetung  sepanjang 2.5 meter.

Sambil memerhatikan suasana keliling, terasa jauhnya diri berada di bawah tanah, dikelilingi besi yang dipasang sebagai penghadang tanah yang telah dikorek sambil hati berdetik “alangkah beratnya tugas dan risiko mereka yang bekerja di bawah tanah ini demi memberikan keselesaan kepada orang ramai.”

Mereka yang lalu-lalang di kawasan ini yang berhampiran Sungai Batu Kepong-Jinjang itu mungkin hanya nampak penghadang yang dipasang tanpa mengetahui apakah yang sedang berlaku di bawah tanah tapak projek berkenaan. Tanpa mereka ketahui ada jentera Tunnelling Boring Machine (TBM) yang sedang mengorek batu sambil menolak masuk sedikit demi sedikit paip pembetungan yang tingginya lebih daripada seorang dewasa berdiri.

Proses ‘Pipe Jacking’

Menurut Murali, secara ringkasnya proses memasukkan relung atau paip pembetungan tersebut dinamakan ‘pipe jacking’ iaitu kaedah pemasangan paip tanpa membuat korekan terbuka. Oleh kerana ‘cutter head’  jentera berteknologi Jerman itu terpaksa mengorek tanah berbatu, kerja pengorekan agak perlahan. Alat berkenaan  mampu memasukkan tiga batang paip pembetungan sehari iaitu bersamaan 7.2m.

Projek Sungai Nadi Kehidupan atau River of Life (ROL) adalah sebahagian daripada Projek Greater Kuala Lumpur (GKL). Ia bertujuan mengubah kawasan tertentu di Kuala Lumpur yang berhampiran ke Sungai Klang agar mempunyai nilai ekonomi dan komersial yang tinggi.

“Kami kini berada pada fasa terakhir dalam projek kawasan D43 yang melibatkan laluan pembetungan sejauh 42km yang akan menyalurkan air kumbahan ke Loji Serantau Sungai Batu. Walaupun jaraknya ialah 42km, tetapi paip pembetungan yang besar  ini dipasang pada jarak 200 meter kerana ia menjadi tempat pertembungan kesemua laluan paip pembetung kecil dari kawasan yang terlibat,” jelas Murali berkongsi kepakaran IWK sebagai perunding projek.

Projek yang bermula pada 2014 itu kini berada pada fasa akhir sebelum diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar. Ia salah satu daripada projek pembetungan yang melibatkan IWK sebagai Perunding Pengurusan Projek NKEA Greater KL/KV (River of Life and Non River) yang dilantik oleh JPP.

Sungai nadi kehidupan

Projek Sungai Nadi Kehidupan atau River of Life (ROL) adalah sebahagian daripada Projek Greater Kuala Lumpur (GKL). Ia bertujuan mengubah kawasan tertentu di Kuala Lumpur yang berhampiran ke Sungai Klang agar mempunyai nilai ekonomi dan komersial yang tinggi.

Harapannya kelak ia setanding dengan beberapa negara maju seperti Korea, Singapura, London dan Paris yang berjaya membersih dan menaik taraf sungai di tengah-tengah kota raya mereka sehingga menjadi Pusat Rekreasi serta tarikan pelancong.

Justeru usaha pembersihan sungai yang sarat dengan sisa buangan pemilik rumah, pemilik perniagaan dan industri giat dijalankan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan agensi kerajaan yang terlibat seperti Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP).

Sungai Klang sepanjang 110km itu akan dibersihkan agar kualiti air dapat ditingkat kepada piawaian rekreasi iaitu daripada Kelas III (indeks kualiti air 63 peratus) kepada kelas IIB (indeks kualiti air paling minimum 76.5 peratus-sesuai dipegang dan sesuai untuk kegunaan rekreasi). Di samping melalui proses pengindahan sungai dan kemajuan tanah.

Dalam proses tersebut, JPP terlibat dengan bahagian pertama iaitu pembersihan sungai membabitkan sembilan (9) projek di bawah Entry Point Projects (EPP) dan tiga (3) Business Opportunities (BO) untuk menjadi pemangkin kepada usaha-usaha ke arah mencapai matlamat GKL.

JPP juga dipertanggungjawab untuk melaksanakan sebahagian besar projek di bawah EPP5 (ROL) dan BO3 seperti  melaksanakan kerja rasionalisasi di beberapa Loji Rawatan Kumbahan,  Kerja-kerja CCTV dan Pemulihan Rangkaian Paip Pembetungan Awam Sedia ada di sekitar Lembah Klang. Ia turut melibatkan Kajian Terhadap Loji Rawatan Kumbahan Awam dan Persendirian Yang Terbengkalai dan juga Projek Penyambungan Premis, juga di sekitar Lembah Klang.

Pihak IWK dan JPP bekerjasama demi mencari jalan penyelesaian yang terbaik dari segi pengawalan kos, dan tempoh tamat kontrak yang dibenarkan di samping menangani masalah yang ditimbulkan oleh pihak awam dan penduduk setempat.
Salah satu lokasi pembekalan air bersih, Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).

Kebaikan untuk semua

Bagi Azmi, sungguhpun ia nampak mudah jika dilihat di atas kertas, tetapi dalam usaha mereka menzahirkan pelan yang telah dirancang, pelbagai kekangan yang perlu mereka hadapi dan tangani.

Sebagai perunding yang banyak menguruskan sistem pembetungan nasional, IWK sudah tentu memiliki kelebihan kerana  syarikat berkenaan memiliki data  mengenai penyelenggaraan dan keadaan paip pembetungan serta loji sedia ada.

Antara masalah yang dikenalpasti adalah paip pembetung yang mengalami kerosakan, kecacatan atau paip yang runtuh, paip pembetung yang sudah lama dan paip saiz kecil yang tidak mampu menampung pembangunan yang pesat.

“Bagaimanapun apabila ia diserahkan kepada kontraktor yang dilantik JPP untuk dilaksanakan, antara masalah yang timbul ialah bantahan penduduk setempat untuk menggunakan jalan masuk ke loji.

Kadangkala juga, prestasi pihak kontraktor yang dilantik oleh JPP tidak mencapai tahap yang memuaskan dari segi kualiti dan menepati tempoh masa kontrak yang telah ditetapkan.

“Di sini, pihak IWK dan JPP bekerjasama demi mencari jalan penyelesaian yang terbaik dari segi pengawalan kos, dan tempoh tamat kontrak yang dibenarkan di samping menangani masalah yang ditimbulkan oleh pihak awam dan penduduk setempat,” jelas beliau.

Bagi menangani masalah berkenaan pada masa akan datang, Azmi menyarankan agar pihak kontraktor wajib hadir ke Pusat Latihan IWK untuk mengikuti kursus Pengurusan Pembinaan dan Pengurusan Pembetungan sebelum bermula sesuatu projek dengan JPP.

Azmi juga tidak menafikan IWK turut menerima aduan orang ramai mengenai keselamatan dan kemalangan di tapak yang melibatkan orang awam, kesesakan jalan raya yang timbul dan pelbagai masalah lain yang disebabkan oleh kontraktor gagal memenuhi kehendak SOP yang disediakan. “Secara tidak langsung ia menjejaskan reputasi IWK,” terang Azmi.

Bagaimanapun, menurut Azmi pihaknya positif apabila projek GKL siap menjelang 2020 nanti, orang ramai akan dapat menikmati pelbagai kebaikan daripada air sungai yang bersih. Manakala di pihak IWK, ia juga antaranya dapat mengurangkan kos penyelenggaraan serta serta meningkatkan pendapatan IWK sebagai Perunding Pengurusan Projek. – Bernama