Izzat catat pukulan hole-in-one

Izzat catat pukulan hole-in-one

Oleh Fadhil Yunus

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Ianya ibarat sebuah mimpi yang menjadi kenyataan apabila pemain golf Awang Ahmad Izzat bin Dato Seri Setia Haji Mohd Zaimi berjaya melakukan pukulan hole-in-one pada Kejohanan Golf Baiduri Masters, sekaligus membuka peluang kepadanya untuk menangi hadiah hebat sebuah kereta mewah 3.6 liter berenjin V6, Porsche Panamera berharga B$175,800.

Bagaimanapun, beliau perlu menunggu hingga kejohanan itu berakhir pada Ahad depan untuk mengetahui sama ada Porsche Panamera itu menjadi miliknya seorang atau tidak kerana menurut syarat kejohanan, jika ada lebih daripada seorang pemain yang berjaya melakukan pukulan hole-in-one, maka mereka akan berkongsi hadiah.

Awang Izzat merupakan pemain kedua yang berjaya melakukan pukulan hole-in-one sepanjang 20 tahun Kejohanan Baiduri Masters dianjurkan.

Pemain golf yang bertuah itu berjaya melakukan pukulan hole in one pada lubang ke-2 kira-kira jam 6.00 petang ini.

Pada lubang yang sama, tujuh tahun lalu, Awang Elyas Abdullah Tseu, menjadi pemain golf pertama kejohanan Baiduri Masters melakukan pukulan hole-in-one sekali gus memenangi sebuah kereta mewah BMW 730Li.

Awang Izzat bergaya dengan kereta Porsche Panamera yang bakal menjadi miliknya.
Awang Izzat bergaya dengan kereta Porsche Panamera yang bakal menjadi miliknya.

“Saya seperti tidak percaya. Kawan-kawan saya telah meraikannya lebih dahulu daripada saya. Sebaik sahaja membuat pukulan, saya sudah tidak nampak lagi bola, malah kerana keadaan cuaca yang agak buruk saya menyangka ia telah hilang,” katanya ketika ditemubual hari ini.

Menurutnya, beliau merasa begitu bergemuruh selepas melakukan pukulan hole-in-one itu dan beliau begitu bersyukur kerana berjaya melakukannya.

“Memang menjadi impian setiap pemain golf untuk melakukan pukulan hole-in-one dan saya telah melakukannya,” katanya sambil menambah bahawa kejayaan itu adalah hadiah buat ayahnya yang baru menyambut hari jadinya semalam.

ARTIKEL YANG SAMA