JA Solar labur RM300 juta untuk kilang di luar china

JA Solar labur RM300 juta untuk kilang di luar china

GEORGE TOWN, 21 Okt – JA Solar Holdings Co Ltd, salah satu pengeluar produk tenaga solar berkeupayaan tinggi yang terbesar di dunia telah melabur sebanyak RM300 juta di Bayan Lepas bagi membangunkan kemudahan pembuatannya yang pertama di luar China.

Timbalan Pengurus Besar JA Solar Malaysia Sdn Bhd, Ong Ken Yong, berkata sejumlah besar daripada perbelanjaan modal kumpulan itu telah dibelanjakan untuk peralatan dan menaik taraf kemudahan.

Katanya, kemudahan itu mampu menghasilkan sel-sel solar pelbagaihabluran kecekapan tinggi untuk digunakan dalam penjanaan kuasa fotovoltan.

“Kemudahan itu akan memulakan pengeluaran dalam beberapa minggu dan penghantaran pertama kami untuk pasaran luar negara dijadualkan bermula pada akhir tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas perasmiannya di sini hari ini.

Ia akan menampung keperluan eksport pasaran China, Amerika Utara, Jepun, Eropah dan pasaran baru muncul yang lain.

“Saya percaya kemudahan pengeluaran di Pulau Pinang akan menyumbang kira-kira 10 peratus daripada jumlah keupayaan pengeluaran kami,” katanya.

Majoriti (45 peratus) daripada produk-produk JA Solar akan dieksport ke China, Jepun (21 peratus), Eropah (15 peratus), Amerika Syarikat (satu peratus) dan pasaran baru muncul yang lain (18 peratus).

“Pendapatan bersih kami bagi separuh pertama tahun ini telah melebihi RM3 bilion atau 5 bilion Renminbi dan kumpulan itu menyasarkan untuk menembusi lebih banyak pasaran baru muncul,” katanya.

Kemudahan baru di Malaysia akan menawarkan peluang pekerjaan kepada kira-kira 700 orang dan mampu dikembangkan lagi untuk menampung peningkatan permintaan.

Katanya, walaupun ekonomi global agak tidak menentu, prospek industri tenaga solar adalah sangat baik berikutan permintaan yang semakin meningkat. Ong juga memberitahu bahawa syarikat itu patuh dengan peraturan tempatan dalam usaha menangani isu-isu alam sekitar.

“Kami telah mendapatkan kelulusan, lesen alam sekitar, pengeluaran dan perniagaan yang diperlukan daripada pihak berkuasa kerajaan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar,” katanya.

JA Solar yang berpangkalan di China, syarikat tersenarai di bursa saham NASDAQ, merupakan pengeluar tenaga solar yang menghasilkan produk-produk yang menukarkan cahaya matahari kepada elektrik untuk kediaman, komersial dan penjanaan tenaga berskala utiliti. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA