Jabatan Bandaran BSB juara badminton

Jabatan Bandaran BSB juara badminton

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 April – Pasukan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (BSB) berjaya menunjukkan kehebatan dengan muncul juara Kejohanan Badminton Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-jabatan Di bawahnya dengan menewaskan Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat pada final di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat, Lapangan Terbang Lama, Berakas, kelmarin.

Hadir menyaksikan perlawanan akhir dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Muhammad Sunadi bin Haji Buntar.

Dalam perlawanan akhir itu, Pasukan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan menewaskan Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat, tiga set daripada empat set terawal.

Dalam aksi beregu pertama, gandingan Haji Ghafar bin Nitih dan Haji Tua bin Haji Tahamit daripada Pasukan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan menang straight set dengan menundukkan pasangan Haji Japar bin Haji Tahir dan Awang Bungsu bin Metarsad daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat 21-8, 21-6.

Dalam perlawanan kedua, pasangan Lim Sun Hui dan Awang Ali Hussin bin Besar daripada Pasukan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan menewaskan pasangan Awang Hanif bin Haji Suboh dan Haji Adnan bin Haji Ahmad 21-9, 21-12.

Haji Muhammad Sunadi bergambar ramai bersama para pemenang kejohanan.
Haji Muhammad Sunadi bergambar ramai bersama para pemenang kejohanan.
Haji Muhummad Sunadi menyampaikan piala rebutan kepada Pasukan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan.
Haji Muhummad Sunadi menyampaikan piala rebutan kepada Pasukan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan.

Manakala dalam perlawanan ketiga, pasangan Dayang Siti Nurfaizah binti Haji Momin dan Dayang Surbaya binti Sabli dari Jabatan Bomba dan Penyelamat menewaskan pasangan Hajah Kartina binti Haji Minggo dan Dayang Yusfakhrena binti Yusra dari Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan 21-15, 21-16.

Dalam aksi keempat, gandingan Awang Romzi binti Haji Burut dan Awang Mohd Huzaini bin Haji Mohd Salleh dari Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan berjaya menewaskan gandingan Awang Mohd Syamil Fazrin bin Wahab dan Awang MOhd Norazri bin Haji Abdul Ghani 21-15, 21-19.

Kemenangan ketiga Pasukan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan itu memberikan mereka tiket untuk menjulang kejuaraan, dan tempat ketiga dikongsi bersama oleh Pasukan Jabatan Penjara dan Pasukan Jabatan Daerah Temburong.

ARTIKEL YANG SAMA