Jabatan Bandaran KB & Seria makmurkan masjid

Jabatan Bandaran KB & Seria makmurkan masjid

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 16 Jun – Sebagai salah satu aktiviti pengisian menjelangnya bulan Ramadan Al-Mubarak, di samping memakmurkan masjid dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria telah menganjurkan Kempen Kebersihan di Masjid RPN Kampung Pandan di sini, baru-baru ini.

Kempen yang turut dikendalikan bersama oleh bahagian Keugamaan Badan Kebajikan, Sukan dan Sosial jabatan itu dihadiri oleh lebih 100 orang pegawai dan kakitangan jabatan.

Turut hadir ialah Pemangku Pengerusi Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria, Awang Sarih bin Tabong.

Kerja-kerja pembersihan telah dibahagikan kepada beberapa kawasan termasuk tandas, tempat berwudhu, longkang, di kawasan luar dan dalam masjid yang dilaratkan sama dengan kerja memotong rumput.

Kempen tersebut juga diadakan atas kesedaran bahawa masjid mempunyai peranan yang amat penting dalam usaha untuk membangunkan umat Islam yang sejati dan kebersihan, keindahan bangunan dan persekitarannya membangkitkan semangat umat Islam untuk mengimarahkannya.

Awang Sarih menyerahkan wakaf untuk Masjid RPN Kampung Pandan kepada Awang Akup semasa kempen membersihkan kawasan masjid berkenaan.
Awang Sarih menyerahkan wakaf untuk Masjid RPN Kampung Pandan kepada Awang Akup semasa kempen membersihkan kawasan masjid berkenaan.
Kempen membersihkan kawasan masjid disertai oleh pegawai dan kakitangan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria.
Kempen membersihkan kawasan masjid disertai oleh pegawai dan kakitangan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria.

Di samping itu, ia juga bagi memupuk dan menanamkan sifat mencintai keindahan dan kebersihan masjid, menanamkan semangat gotong-royong dan kerjasama bagi sama-sama menjaga kebersihan serta keindahan kesucian rumah Allah sebagai tempat beribadat, dan lebih penting adalah untuk meningkatkan lagi rasa persaudaraan ukhuwah dan siratulrahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan jabatan yang terlibat.

Menerusi aktiviti itu, Bahagian Keagamaan, Badan Kebajikan, Sukan dan Sosial Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria juga telah menyumbangkan wakaf beberapa biji tong sampah bagi kemudahan menjaga kebersihan masjid berkenaan yang telah disampaikan oleh Awang Sarih kepada Pegawai Masjid, Awang Akup bin Haji Lamat.

ARTIKEL YANG SAMA