Jabatan Bomba tubuh MOSAR

Jabatan Bomba tubuh MOSAR

RANAU, 22 Jun (Bernama) – Satu pasukan bantuan mencari dan menyelamat di gunung (MOSAR) yang berpusat di Balai Bomba Ranau ditubuhkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah sebagai persediaan menghadapi sebarang kecemasan dan bencana seperti gempa bumi yang berlaku di daerah ini pada 5 Jun lepas.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan ketika melancarkan pasukan itu, hari ini, berkata, anggota MOSAR yang akan dipertanggungjawabkan dalam aspek kecemasan dan keselamatan di Gunung Kinabalu itu, dipilih dalam kalangan malim gunung yang berpengalaman dan berkemahiran.

“Pada peringkat awal penubuhan MOSAR, hari ini sebanyak 20 malim gunung telah dilantik sebagai Pegawai Bomba Bantuan (PBB) dan dijangka jumlah PBB yang dilantik adalah sehingga 100 orang.

Proses pemilihan PBB itu telah mula dilaksanakan pada Jumaat lepas dan malim gunung yang berjaya dilantik sebagai PBB akan dipanggil untuk menjalani latihan asas selama 10 hari, yang mana semua kos perbelanjaan akan ditanggung oleh kerajaan,” katanya.

Bagi mewujudkan pasukan MOSAR, Abdul Rahman berkata, sebelum ini pihaknya telah mengarahkan pihak bomba dengan kerjasama persatuan malim gunung dan Taman-Taman Sabah untuk mewujudkan satu pasukan yang lebih mantap.

“Dengan pendekatan itu kita telah membuat keputusan untuk mewujudkan pasukan MOSAR dengan memilih malim-malim gunung yang berdaftar dengan Taman-Taman Sabah untuk menjadi PBB, kerana mereka (malim gunung) memang terkenal dengan keupayaan melakukan kerja di altitud tinggi dan mempunyai kekuatan fizikal yang baik serta mahir dengan laluan serta risiko semasa.

Pasukan MOSAR di kalangan malim gunung ini membolehkan situasi kecemasan dikendalikan dengan cepat dan ‘masa respons’ yang singkat memberi peluang untuk lebih kejayaan dikecapi dalam operasi mencari dan menyelamat,” katanya.

Beliau berkata konsep gerak kerja serta penjadualan tugas akan disusun sebaik mungkin bagi memastikan terdapat anggota PBB yang akan berada di sepanjang laluan pendaki dan tempat rehat di Gunung Kinabalu dan apabila berlaku kecemasan atau bencana, PBB berkenaan yang akan diaktifkan untuk menangani bencana berkenaan sementara menunggu pasukan bantuan.

“PBB itu akan dibekalkan dengan peralatan alat perlindungan diri yang bersesuaian serta peralatan menyelamat seperti tandu, tali penyelamat dan beberapa lagi peralatan lain untuk tujuan mencari dan menyelamat,” kata beliau.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata bomba Sabah akan menerima dua lagi helikopter dalam masa terdekat, bagi memantapkan lagi segala operasi pasukan bomba Sabah.

“Penambahan dua helikopter itu menjadi bomba Sabah kini memiliki empat aset berkenaan. Penambahan aset itu sangat bertepatan kerana keadaan bentuk muka bumi di Sabah yang sangat mencabar. Oleh itu kita berharap dengan adanya dua helikopter itu akan memantapkan lagi segala operasi yang dirancang oleh bomba Sabah,” katanya.