Jabatan Buruh adakan jerayawara LPA di KB

Jabatan Buruh adakan jerayawara LPA di KB

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 10 Nov – Untuk memberikan kefahaman jelas mengenai proses baru Lesen Pekerja Asing (LPA) dan tatacara permohonannya kepada pihak-pihak berkepentingan yang terdiri daripada majikan dan orang ramai, Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah mengadakan Jerayawara Pemberigaan Proses Baru Lesen Pekerja Asing (LPA) di Dewan Persidangan di sini hari ini.

Hadir selaku pengerusi majlis ialah Penolong Pesuruhjaya Buruh, Awang Hazmin Hatta bin Haji Hamzah dan pegawai-pegawai kanan di Jabatan Buruh, pegawai-pegawai dari JobCentre Brunei serta Tabung Amanah Pekerja.

Penolong Pesuruhjaya Buruh Dayang Aemy Azlena binti Haji Azahari semasa taklimat telah menerangkan secara terperinci mengenai LPA diikuti taklimat tatacara pembayaran wang taruhan pekerja asing yang memberi fokus kepada penggunaan Jaminan Insuran Takaful Pekerja Asing yang mana ia merupakan satu proses yang perlu dibuat setelah mendapatkan LPA, yang disampaikan oleh Pegawai Kewangan Jabatan Buruh Dayang Asiah binti Ibrahim, selain taklimat pendaftaran mandatori yang disampaikan oleh Pegawai JobCentre Brunei.

Majlis turut dibukakan untuk sesi dialog di antara para majikan dan juga pihak Jabatan Buruh serta ahli-ahli panel taklimat berkenaan.

Pegawai-pegawai kanan Jabatan Buruh dan ahli panel lainnya semasa menyampaikan taklimat pada majlis tersebut.
Pegawai-pegawai kanan Jabatan Buruh dan ahli panel lainnya semasa menyampaikan taklimat pada majlis tersebut.

LPA merupakan proses baru yang menggabungkan proses Permohonan Lesen Pengambilan Pekerja Asing dan juga Proses Sokongan Pas Kerja yang mula berkuatkuasa pada 1 Oktober lalu bertujuan memberikan perkhidmatan lebih berkualiti dan efisien serta memudahkan orang ramai berurusan ke Jabatan Buruh, selain mendukung hasrat negara ke arah persekitaran pro-business.

Ia juga bertujuan mengutamakan penduduk tempatan dalam pengambilan jawatan-jawatan dalam sektor industri yang dipegang oleh pekerja asing yang mana ia akan diisikan oleh pekerja tempatan secara berperingkat-peringkat menggunakan mekanisma Nisbah Tempatan Asing (NTA).

Permohonan-permohonan LPA memerlukan pemohonnya untuk terlebih dahulu mendapatkan beberapa keperluan sebelum menghadapkan LPA mereka antaranya, mendaftar dan mengiklankan di JobCentre Brunei, menyertakan senarai pekerja-pekerja tempatan yang disahkan oleh Tabung Amanah Pekerja (TAP) melalui e-Amanah dan menyertakan sokongan atau pengesahan agensi kerajaan yang lain jika perlu.

Bagi maklumat lanjut mengenai proses LPA, majikan dan pihak-pihak berkepentingan bolehlah melayari laman sesawang Jabatan Buruh www.labour.gov.bn atau Facebook Jabatan Buruh, Negara Brunei Darussalam dan Instagram labour.brunei atau datang terus ke ruang legar, Tingkat Bawah Bangunan Jabatan Buruh Jalan Dewan Majlis, Bandar Seri Begawan dan juga cawangan Pejabat Buruh di daerah masing-masing.

ARTIKEL YANG SAMA