Jabatan daerah anjur majlis kesyukuran Jubli Emas

Oleh Normazlina M.D,

Hajah Saemah Kepli & Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

TUTONG, 12 Okt – Bagi merafakkan rasa syukur rakyat dan penduduk kepada Allah Subhanahu Wata’ala di atas kejayaan Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta, jabatan-jabatan daerah di Daerah Tutong, Belait dan Temburong telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran, di daerah masing-masing, hari ini.

Di Daerah Tutong, majlis berlangsung di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong di mana hadir selaku tetamu khas ialah Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain.

Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong selaku Penghulu Mukim Tanjong Maya dan Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit selaku Penghulu Mukim Telisai; Pemangku Lembaga Bandaran Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam bersama pegawai-pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan kerajaan Daerah Tutong.

Di Daerah Belait pula, majlis yang dikendalikan bersama Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait dan Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Belait telah diadakan di Masjid Muhammad Jamalul Alam.

Hadir pada majlis itu ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin selaku Penghulu Mukim Liang dan Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput selaku Pemangku Penghulu Mukim Labi; Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Azmi bin Haji Abdul Rahim, ketua-ketua jabatan dan cawangan kerajaan Daerah Belait, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, pegawai dan kakitangan kerajaan, anggota beruniform serta ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung Daerah Belait.

Majlis Doa Kesyukuran yang diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong.
Majlis yang diadakan di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Daerah Belait.

Sementara itu, di Daerah Temburong, majlis berlangsung di Masjid Utama Mohammad Salleh Pekan Bangar dan hadir pada majlis itu ialah Pegawai Daerah Temburong, Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud.

Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, pegawai-pegawai kanan kerajaan, ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung serta ahli-ahli takmir masjid Daerah Temburong.

Majlis tersebut bertujuan bagi memohon ke hadrat Allah S.W.T, semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia dilanjutkan usia, sihat walafiat dan sentiasa mendapat petunjuk daripada Allah S.W.T.

Ia juga sebagai tanda syukur rakyat serta penduduk ke hadrat Allah S.W.T atas limpah rahmat juga kurnia-Nya menjadikan Negara Brunei Darussalam sentiasa berada dalam keadaan aman dan sejahtera di bawah kepimpinan bijaksana Baginda.

Di samping itu, majlis tersebut diadakan juga bagi memohon keberkatan agar Negara Brunei Darussalam sentiasa mendapat perlindungan daripada Allah S.W.T serta memohon ke hadrat Allah agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia kekal karar di atas singgahsana kerajaan.