Jabatan Kehakiman Negara tubuh Mahkamah Komersial

Jabatan Kehakiman Negara tubuh Mahkamah Komersial

Oleh Rafidah Jumat & Sim Y.H

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Feb – Jabatan Kehakiman Negara telah mengumumkan penubuhan sebuah Mahkamah Komersial yang akan dihakimkan oleh Hakim Mahkamah Perantaraan di mana ia akan mempercepatkan perbicaraan kes-kes komersial.

Kes sedemikian akan diberi keutamaan dari segi tarikh perbicaraan untuk memastikan ia ditangani mengikut masa yang ditetapkan.

Pengumuman ini dibuat oleh Ketua Hakim Negara, Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Haji Kifrawi bin Dato Paduka Haji Kifli semasa berucap pada Majlis Pembukaan Tahun Undang-undang, di Mahkamah Tinggi, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Menjelaskan lanjut, Mahkamah Komersial baru ini akan mendengar pertikaian berkaitan dengan kontrak, barangan eksport dan import, insurans dan insurans semula, perbankan dan perkhidmatan kewangan, operasi pasaran dan pertukaran, dan pembelian dan penjualan komoditi.

Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Haji Kifrawi menerima tabik hormat.
Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Haji Kifrawi menerima tabik hormat.
Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Haji Kifrawi memeriksa perbarisan.
Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Haji Kifrawi memeriksa perbarisan.

Tambah Yang Amat Arif, dua prosedur baru juga akan diperkenalkan dalam mahkamah baru ini yang akan membantu mempercepatkan penyelesaian iaitu persidangan pengurusan kes dan pilihan untuk pengantaraan.

Pada masa ini, terdapat lapan orang ahli panel hakim yang dikenal pasti untuk mendengar kes-kes komersial di samping kes-kes yang lain.

Selain menyelesaikan ‘kes komersial’ secara berkesan, jelas Yang Amat Arif, mahkamah masih mempunyai tanggungjawab dalam menyelesaikan kes-kes jenayah dengan segera dan adil bagi memastikan pesalah yang didakwa diuruskan mengikut undang-undang dan hak masyarakat.

Menyentuh mengenai Sistem Pengurusan Kes Kehakiman Elektronik, katanya, ia telah terbukti menjadi alat yang berkesan apabila pengamal undang-undang sudah pun menyesuaikan diri dengan integrasi teknologi itu ke dalam sistem mahkamah.

Perkhidmatan pembayaran dalam talian adalah satu lagi langkah ke arah memperbaiki perkhidmatan mahkamah.

Menurut Yang Amat Arif, Tribunal Tuntutan Kecil akan dibuka di tiga daerah lain tahun ini di mana individu akan mempunyai akses mudah dengan memfailkan tuntutan, dan kes mereka akan didengarkan di daerah masing-masing.

Satu saluran kerjasama juga ditubuhkan di antara Jabatan Buruh dan Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi yang mengendalikan tuntutan kecil.

Yang Amat Arif dalam ucapannya turut menyentuh mengenai isu bantuan guaman di mana statistik dalam 10 tahun kebelakangan menunjukkan 19 permohonan telah diberi bantuan guaman dengan jumlah $318,170 telah dibayar kepada wakil peguam di bawah skim itu.

“Tidak semua pesalah bagi kes membawa hukuman mati mempunyai kewangan untuk melantik peguam untuk membela mereka, dan ini membuktikan skim bantuan guaman adalah sebahagian daripada sistem keadilan,” katanya.

Pesalah, apabila memohon bantuan guaman perlu menjalani pemeriksaan kemampuan kewangan dan jika mereka dinilai tidak mampu, mahkamah akan melantik wakil peguam untuk mereka.

Dalam ucapannya itu, Yang Amat Arif turut mengumumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan melantik enam orang hakim Mahkamah Perantaraan yang baru pada tahun lalu iaitu Timbalan Ketua Pendaftar Radin Shafiee; Ketua Majistret Muhammad Faisal; Majistret Kanan Haji Nabil Daraina, Pendaftar Kanan Ramzidah, Majistret Kanan Pengiran Masni dan Pendaftar Kanan Dayangku Hajah Norismayanti.

Ketua Hakim Negara percaya, pelantikan itu adalah tepat pada masanya dalam menyediakan mereka pengalaman dan praktikal yang berkesan dalam proses membuat keputusan.

Merujuk kepada statistik kebankrapan bagi tempoh 2010-2015, Yang Amat Arif mendedahkan terdapat peningkatan beransur dalam jumlah notis kebankrapan yang difailkan.

Ciri paling jelas ialah jumlah pembatalan Perintah Penerimaan dan pelepasan daripada Perintah Penghukuman iaitu daripada 18 pada 2010 kepada 95 pada 2015, dan satu pada 2010 kepada 10 pada 2015.

Ini, kata Yang Amat Arif, menunjukkan ramai penghutang penghakiman yang telah dapat dilepaskan daripada prosiding kebankrapan dari sebelumnya.

ARTIKEL YANG SAMA