Jabatan Laut, DCA diarah keluar amaran jerebu

Jabatan Laut, DCA diarah keluar amaran jerebu

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) – Kementerian Pengangkutan mengarahkan Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk mengeluarkan amaran jerebu kepada pesawat dan kapal yang beroperasi di semua lapangan terbang dan pelabuhan.

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata sekiranya jarak penglihatan kurang daripada satu batu nautika akibat jerebu, bot-bot nelayan dan kapal-kapal kecil perlu menghentikan operasi mereka atas faktor keselamatan.

“Begitu juga dengan pesawat-pesawat udara, sekiranya jarak penglihatan kurang daripada 600 meter, maka pendaratan di lapangan terbang akan menjadi sangat berbahaya kerana pandangan tidak jelas akibat jerebu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen MCA Negeri Selangor di Wisma MCA, hari ini.

Liow berkata pihaknya berharap kerajaan Indonesia akan segera menyelesaikan isu pembakaran terbuka dan ‘hot spot’ di negara itu yang menyebabkan fenomena jerebu teruk di negara-negara jirannya.

Terdahulu, Liow yang juga Presiden MCA menyeru semua anggotanya untuk bersatu padu bagi merampas kembali kepimpinan kerajaan negeri Selangor daripada Pakatan Rakyat.

“Pucuk pimpinan parti perlu memanfaatkan penggunaan media sosial untuk berinteraksi dengan anggota dan penduduk di bahagian serta cawangan masing-masing bagi lebih memahami masalah mereka,” katanya dalam bahasa Mandarin.

Dalam pada itu Liow berkata MCA Selangor juga telah menubuhkan satu jawatankuasa kerja yang diketuai Setiausaha MCA Selangor, Ng Chok Sin bagi memantau aktiviti Darul Ehsan Investment Group (DEIG) yang meragukan.

“Penubuhan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) oleh Menteri Besar Selangor, Mohamad Azmin Ali menimbulkan persoalan pelbagai pihak apabila ia ditubuhkan tanpa pengetahuan Dewan Undangan Negeri Selangor.

“Rakyat Selangor mula mempersoalkan kewujudan DEIG kerana ia dilihat tidak membawa sebarang ‘synergy effect’ kepada perkembangan ekonomi negeri.

ARTIKEL YANG SAMA