Jabatan Mineral dan Geosains diminta kaji tanah kubur runtuh

Jabatan Mineral dan Geosains diminta kaji tanah kubur runtuh

KUCHING, 1 Jan (Bernama) – Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia akan diminta untuk mengkaji keadaan tanah di Perkuburan Islam Kampung Bako Hulu yang terjejas akibat hujan lebat semalam.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kajian itu perlu bagi memastikan insiden yang menjejaskan kawasan perkuburan di lereng bukit itu tidak berulang.

Katanya beliau juga telah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) turut sama menilai bagaimana untuk menyelamatkan tanah perkuburan itu.

“JKR akan datang esok untuk menilai macam mana kita nak selamatkan kubur yang ada sekarang kerana kita tidak boleh pastikan atau jamin tidak akan berlaku hujan lagi pada masa akan datang. Selepas kajian oleh JKR buat kajian nanti barulah kita akan mengambil tindakan mengikut cadangan mereka itu nanti.

“Saya juga akan berhubung dengan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia supaya mereka boleh buat kajian menggunakan kepakaran mereka bagi menentukan kekuatan tanah di perkuburan ini bagi mengelak daripada perkara begini berlaku semula,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tanah perkuburan yang terjejas itu, hari ini.

Semalam kira-kira 100 kubur di tanah perkuburan yang terletak di lereng bukit itu terjejas akibat hujan lebat hingga ada kubur yang berubah jatuh dan menimpa kubur yang lain.

Sementara itu, Wan Junaidi yang juga Anggota Parlimen Santubong berkata Lembaga Amanah Masjid Kampung Bako akan meminta nasihat daripada Majlis Agama Islam Sarawak bagi kaedah terbaik untuk menangani kubur-kubur yang terjejas itu.

Beliau berkata kejadian hujan lebat itu menyebabkan kubur terjejas malahan ada ada tulang yang terkeluar daripada kubur yang terjejas itu.

“Dalam keadaan demikian kita minta Majlis Agama Islam Sarawak untuk mengenal pasti kaedah mengikut syariah sebarang tindakan yang perlu diambil.

Bila Majlis Agama Islam Sarawak sudah membuat fatwa mereka sendiri untuk menangani masalah kubur-kubur ini kita akan ikut apa saja arahan mereka,” katanya.