Jabatan Mufti Kerajaan perkenal Irsyad Hukum 2014

Jabatan Mufti Kerajaan perkenal Irsyad Hukum 2014

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar Oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Nov – Jabatan Mufti Kerajaan telah memperkenalkan sebuah buku terbaru terbitannya bertajuk ‘Irsyad Hukum 2014’ yang merupakan siri Irsyad Hukum yang disiarkan di Pelita Brunei sepanjang tahun 2014.

Dalam sidang media memperkenalkan buku berkenaan di Bilik Mesyuarat, Jabatan Mufti Kerajaan, hari ini, Pemangku Pengarah Pentadbiran Jabatan Mufti Kerajaan, Haji Mohidin bin Haji Mustapha menjelaskan buku ini merupakan hasil usaha dan kerjasama pegawai-pegawai Bahagian Buhuth dan Irsyad, Jabatan Mufti Kerajaan.

Secara tradisinya, tajuk-tajuk perbincangan dalam buku ini disusun dalam beberapa bab utama dan mengikut sembilan kategori sesuai dengan topik yang ingin dijelaskan iaitu kategori Aqidah, Ibadat, Muamalat, Al-Ahwal Asy-Syakhshiyyah, Haiwan, Perundangan, Akhlak, At-Tasawwuf dan Al-Mutafarriqat.

Daripada sembilan kategori itu, jelas beliau, sebanyak 35 tajuk perbincangan Irysad Hukum 2014 yang mengetengahkan berbagai-bagai isu yang perlu diketahui hukumnya oleh umat Islam dalam kehidupan seharian.

Irsyad diolah dengan begitu rapi agar setiap hujah disertakan dan dikuatkan dengan dalil-dalil daripada Al-Quran, hadis dan qaul ulama mu’tabar.

Haji Mohidin ketika memperkenalkan buku terbitan terbaru Jabatan Mufti Kerajaan ‘Irsyad Hukum 2014’.
Haji Mohidin ketika memperkenalkan buku terbitan terbaru Jabatan Mufti Kerajaan ‘Irsyad Hukum 2014’.

Antara tajuk-tajuk yang dibincangkan dalam buku ini termasuk permasalahan ragu-ragu dalam rakaat sembahyang, fidyah perempuan hamil dan menyusukan anak, enggan membayar zakat membawa padah, cara menghadapi orang nazak dan yang baru meninggal dunia, hadiah boleh menjadi rasuah dan banyak lagi.

Buku ini bertujuan untuk memudahkan para pembaca untuk membuat rujukan, mencari jawapan bagi berbagai permasalahan dan persoalan yang berkaitan dengan hukum-hakam di samping memperolehi sumber-sumber kukuh sebagai sandaran.

Haji Mohidin turut memberitahu, Irsyad Hukum 2014 dan buku-buku lain terbitan Jabatan Mufti Kerajaan akan dipromosikan dan dijual semasa Ekspo Buku Malaysia 2015 yang akan berlangsung pada 25 sehingga 29 November ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Malaysia.

Setakat ini, Jabatan Mufti Kerajaan telah menerbitkan 97 tajuk buku bermula pada tahun 1996 dan rata-rata terbitan berkenaan telah mendapat sambutan orang ramai yang begitu menggalakkan di dalam dan juga di luar negara.

Sehubungan itu, orang ramai yang berminat untuk mendapatkan buku Irsyad Hukum 2014 ini bolehlah berkunjung ke Bahagian Penerbitan dan Penerangan, Jabatan Mufti Kerajaan pada waktu operasi di mana ia dijual pada harga $7 senaskah dan mempunyai 314 muka surat.

Buku ini juga dirancang untuk dijual di kedai-kedai buku tempatan pada masa yang akan datang.

Dalam pada itu, Haji Mohidin berkata, orang ramai yang ingin beramal jariah Wakaf Ilmu ini boleh mengisikan borang dengan memilih pakej wakaf yang dikehendaki serta memilih tempat berwakaf seperti di masjid-masjid, universiti, sekolah, perpustakaan dan sebagainya.

ARTIKEL YANG SAMA