Jabatan Muzium aktif promosikan sejarah dan budaya

Jabatan Muzium aktif promosikan sejarah dan budaya

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mac – Jabatan Muzium-muzium Brunei aktif memberigakan pendidikan sejarah Brunei dan mempromosikan budaya-budaya serta adat resam melalui lawatan ke sekolah-sekolah dan mengadakan pameran-pameran di tempat awam.

Ia merupakan usaha berterusan ke arah meningkatkan kesedaran mengenai dengan kepentingan sejarah di samping menghidupkan kembali minat pendidikan sejarah khususnya bagi para belia masa kini.

Demikian menurut Pengarah Muzium-muzium Brunei, Pengiran Dr. Karim bin Pengiran Haji Osman (gambar) semasa ditemui pada Majlis Pelancaran Aplikasi iPad dan Pek Pendidikan Kapal Karam Brunei yang telah berlangsung di Muzium Maritim Brunei Darussalam kelmarin.

Menurutnya, bersempena dengan cuti penggal sekolah masa ini, Jabatan Muzium-muzium sering membuat lawatan ke sekolah-sekolah rendah, menengah dan juga universiti dengan mengadakan aktiviti-aktiviti yang menarik bersama para pelajar seperti kuiz-kuiz, mengadakan taklimat dan juga pameran.

Di samping itu, Bahagian Arkeologi juga aktif dalam mengadakan aktiviti penggalian di Tapak Arkeologi Kota Batu dengan menjemput para pelajar melawat ke tempat penyelidikan dan kajian mengenai sejarah negara yang terdapat di kawasan tersebut.

pg03_160331_b

Tapak Arkeologi Kota Batu yang dilancarkan tahun lepas telah mendapat sambutan begitu menggalakkan khususnya daripada belia-belia kerana tapak tersebut merupakan sesuatu yang baru dan berbeza dibanding dengan taman-taman rekreasi yang lain kerana taman ini memberikan dua peranan dalam satu iaitu keseronokan serta rekreasi dan pada masa yang sama memberikan pembelajaran dan pengajaran.

Menurut Pengiran Dr. Karim, antara perancangan berterusan dalam menarik minat belia ialah melalui Bahagian Arkib di mana orang ramai akan ditayangkan dengan tayangan lama dan bersejarah.

Katanya, dalam usaha untuk menarik minat kanak-kanak dari peringkat awal pula, Jabatan Muzium-muzium telah menukar konsep mereka daripada konsep statik kepada konsep interaktif di mana kanak-kanak kini boleh berinteraksi agar mereka dapat menerima ilmu pengetahuan dengan cara yang lebih menarik.

Contohnya ialah seperti mengadakan pameran-pameran yang interaktif di mana para pengunjung akan dapat menyertai pameran yang dipaparkan bukan dan bukan sahaja dengan membaca.

Sehubungan itu, beliau menyeru para belia agar tidak melupakan sejarah mereka, budaya dan adat resam serta konsep Melayu Islam Beraja negara ini. Mereka juga diseru untuk bersikap terbuka agar dapat menggalakkan minat dan ingin menerokai bidang-bidang sejarah negara ini.

Pengiran Dr. Karim berharap agar generasi masa kini tidak lupa diri, ingat asal usul mereka serta sejarah mereka dan sering ingat akan identiti mereka.

Jabatan Muzium akan terus berusaha untuk meningkatkan peranannya dalam mengumpul dan memelihara khazanah negara yang berupa warisan budaya dan warisan semula di samping menyuntik semangat dan cinta terhadap sejarah Negara Brunei Darussalam terutama sekali dalam kalangan kanak-kanak yang akan menjadi aset negara di masa akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA