Jabatan Muzium perkenalkan aktiviti kembara malam

Jabatan Muzium perkenalkan aktiviti kembara malam

Oleh James Kon

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jun – Satu lagi mercu tanda akan mengambil tempat di Negara Brunei Darussalam untuk menggambarkan keindahan semula jadi dan kekayaan sejarah bagi Brunei. Dan untuk pertama kalinya, Brunei akan menawarkan kembara malam bagi pengunjung yang mahu menikmati keaslian keindahannya.

Pengarah Jabatan Muzium-Muzium Brunei, Pengiran Dr Karim bin Pengiran Haji Osman berkata, aktiviti kembara waktu malam di Taman Arkeologi Kota Batu, yang pertama seumpamanya, dijangka akan dilancarkan pada akhir tahun ini.

Bercakap dalam satu sidang akhbar mengenai perkembangan terkini dan wawasan jangka panjang Jabatan Muzium-Muzium, beliau berkata, taman itu akan mempunyai tempat pejalan kaki sepanjang dua kilometer bagi pengunjung untuk melihat tapak-tapak arkeologi, begitu juga dengan flora dan fauna yang terdapat di Kota Batu.

Taman itu juga akan memperlihatkan tapak muzium yang akan mempamerkan aktiviti-aktiviti arkeologi di Kota Batu.

Menurut Pengiran Dr Karim, pihak jabatan merancang untuk menawarkan perjalanan kembara malam di Taman Arkeologi Kota Batu pada masa terdekat ini untuk menarik minat orang ramai.

pg03_150629_c

“Ia akan lebih menarik dan mempesonakan, merasakan perjalanan waktu malam dan menikmati alam sekitar yang berbeza.”

Juga hadir pada sidang akhbar tersebut adalah Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Muzium-Muzium, Hajah Kolam binti Haji Abdul Gapar dan Ketua bahagian, Arkib Negara, Brunei Darussalam.

Jabatan itu berharap untuk membangunkan sebuah muzium di setiap daerah untuk membawakan konsep muzium kepada komuniti, kata Pengiran Dr Karim.

“Pada masa ini dalam pertimbangan adalah muzium Daerah Belait (bagi pameran kekal dan sementara), yang akan ditempatkan di bekas kediaman Pegawai Daerah Belait.

“Kami juga dalam perbincangan bersama daerah-daerah Tutong dan Temburong, jadi setiap daerah boleh mempamerkan budaya dan sejarah masing-masing,” katanya.

Satu lagi perancangan jangka masa panjang yang menarik adalah pembinaan Laluan Warisan. Beberapa monumen bersejarah yang digazetkan dibawah Akta Barang Antik dan Harta Karun 1967 dalam kawasan Bandar Seri Begawan boleh dimasukkan ke dalam laluan warisan yang sama seperti yang dilakukan di Singapura. Pengunjung boleh sama ada menggunakan bas atau bot untuk mengesan berbagai monumen bersejarah dan tarikan, jelas beliau lagi.

Pengiran Dr Karim berkata, perbincangan kerjasama awam-swasta juga sedang diadakan di antara jabatan itu dan agensi-agensi pelancongan bagi memberikan perkhidmatan lawatan.

Jabatan Muzium-Muzium bercadang untuk membangunkan ibu pejabat baru yang akan menyelaraskan semua aktiviti muzium di bawah satu bumbung. Tapak bagi pembinaan sudah dikenalpasti, tambah beliau.

ARTIKEL YANG SAMA