Jabatan Pelabuhan ‘A’ juara Piala Menteri Perhubungan

Jabatan Pelabuhan ‘A’ juara Piala Menteri Perhubungan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mac – Harapan Pasukan Futsal Jabatan Pengangkutan Darat ‘A’ untuk menjulang Piala Rebutan Yang Berhormat, Menteri Perhubungan Tahun 2016 musnah apabila gawang golnya dirobek dua kali oleh Pasukan Jabatan Pelabuhan ‘A’ yang diterajui penjaring terbanyak kejohanan, Awangku Haji Mohd Aiman bin Pengiran Haji Mohamed.

Kejohanan Futsal 5 Sepasukan Kementerian Perhubungan dan Jabatan-jabatan di bawahnya yang diadakan di Dewan Serba Guna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas itu menyaksikan Pasukan Jabatan Pelabuhan ‘A’ berjaya mengegarkan pasukan lawan dengan jaringan 2-0.

Hadir menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang pada acara tersebut ialah Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat.

Sementara itu, Pasukan Jabatan Laut pula terpaksa akur di tempat keempat setelah tewas di tangan pasukan Pelabuhan ‘B’ dengan jaringan 2 – 0 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat yang telah diadakan sebelum perlawanan akhir tersebut.

Wakil pasukan Jabatan Pelabuhan ‘A’ menerima piala rebutan daripada Menteri Perhubungan.
Wakil pasukan Jabatan Pelabuhan ‘A’ menerima piala rebutan daripada Menteri Perhubungan.

Terdahulu di peringkat separuh akhir, pasukan JPD ‘A’ yang merupakan Johan Kumpulan A mengalahkan pasukan Pelabuhan ‘B’ dengan kemenangan empat berbalas satu gol, sementara pasukan Pelabuhan ‘A’ pula gah dengan jaringan 4-0 terhadap pasukan Jabatan Laut.

Keempat-empat pasukan berkenaan mendahului pasukan lain dalam kumpulan A yang terdiri daripada pasukan Kementerian Perhubungan ‘B’, Jabatan Penerbangan Awam, AITI dan Jabatan Perkhidmatan Pos.

Manakala, dalam Kumpulan B pula Pasukan Jabatan Laut tampil juara kumpulan meninggalkan pasukan Kementerian Perhubungan ‘A’, JPD ‘B’ dan Jabatan (Kaji Cuaca) Meteorologi.

ARTIKEL YANG SAMA