Jabatan Penjara anjur Majlis Tadarus

Jabatan Penjara anjur Majlis Tadarus

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Julai – Sempena bulan Ramadan yang mulia dan penuh berkat ini, Jabatan Penjara mengadakan Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran bagi peringkat Jabatan Penjara di bulan Ramadan Tahun 2015 bertempat di Balai Ibadat Jabatan Penjara.

Pada tahun ini majlis tersebut dikendalikan oleh Institusi Penjara Jerudong.

Bacaan surah Al-Fatihah menandakan bermulanya majlis yang dipimpin oleh tetamu kehormat, Pemangku Pengarah Jabatan Penjara, Haji Ismail bin Haji Murat.

Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan surah Adh-Dhuha hingga An-Nas yang dipimpin oleh Ketua Guru Agama, Haji Isa bin Haji Othman, manakala Doa Khatam dibacakan oleh Haji Ismail bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Abd Hamid dan setelah itu diikuti dengan Dikir Marhaban.

Acara diselajurkan lagi dengan penyampaian derma oleh tetamu kehormat majlis kepada ibu-ibu tunggal dan anak-anak yatim warga Jabatan Penjara dan setelah itu diikuti dengan pengagihan minuman sempena Hari Raya Aidilfitri kepada wakil-wakil Institusi dan Pengurusan Jabatan Penjara yang mana semuanya hasil sumbangan daripada Kelab Kebajikan dan Sukan Jabatan Penjara, Koperasi Jabatan Penjara dan Tanggungan Berhad dan juga pegawai-pegawai dan kakitangan jabatan ini.

Antara para pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara yang sama-sama meramaikan Majlis Tadarus.
Antara para pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara yang sama-sama meramaikan Majlis Tadarus.
Pengagihan minuman sempena Hari Raya Aidilfitri kepada wakil-wakil Institusi dan Pengurusan.
Pengagihan minuman sempena Hari Raya Aidilfitri kepada wakil-wakil Institusi dan Pengurusan.

Di penghujung majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Haji Ismail untuk memberkati majlis.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pemangku timbalan pengarah Penjara, ketua-ketua Institusi dan pengurusan, para pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara.

Aktiviti keagamaan ini adalah merupakan salah satu ibadah bagi mendekatkan diri dengan Al-Quran serta meningkatkan amal ibadat di bulan Ramadan. Dan di samping itu, ia juga dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan jabatan ini.