Jabatan Penjara juara bola sepak 11 sepasukan

Jabatan Penjara juara bola sepak 11 sepasukan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Dis – Bertemu buku dengan ruas, itulah ungkapan yang mudah untuk memberikan gambaran perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak 11 Sepasukan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-jabatan di Bawahnya di antara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) menentang Pasukan Jabatan Penjara semalam.

Kedudukan 2-2 pada akhir tempoh perlawanan memaksa pemain untuk bersaing dalam masa tambahan yang turut menyaksikan kedua-dua pasukan enggan mengalah sehingga pengadil meniup wisel perlawanan dengan mata akhir 3-3 sebelum perlawanan ditentukan dengan sepakan penalti.

Meskipun tumpas, Pasukan JBP perlu diberikan pujian kerana persembahan yang meyakinkan sehingga memaksa Pasukan Jabatan Penjara untuk banyak bertahan dari awal perlawanan.

Namun kemampuan Pasukan Jabatan Penjara tidak boleh dipandang rendah kerana strategi bertahan membolehkan mereka mengintai peluang dan menghukum kesebelasan utama Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk dibolosi.

Johan dan naib johan bergambar ramai selepas perlawanan berakhir kelmarin. – Gambar Muiz Matdani
Johan dan naib johan bergambar ramai selepas perlawanan berakhir kelmarin. – Gambar Muiz Matdani

Hendery Buri memecahkan kebuntuan pada awal babak kedua setelah kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, beliau sama sekali tidak diduga untuk melepaskan rembatan untuk menewaskan penjaga gawang JBP pada minit ke-47.

Kedudukan itu tidak kekal lama apabila JBP melalui Mohd Nor Azri bin Haji Abdul Ghani berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-64.

Pada minit ke-73 kedua-dua pasukan bergilir-gilir menjaringkan jaringan untuk menjadikan kedudukan 2-2 yang dijaringkan oleh Haji Ismail bin Haji Abdul Hamid bagi Jabatan Penjara dan Mohd Nor Azri bagi JBP.

Pada masa tambahan JBP mula memberikan tekanan kepada pasukan Jabatan Penjara apabila berjaya menjaringkan gol pada minit ke-104 melalui Rozaimi bin Haji Petara.

Keajaiban terjadi pada minit ke-114 apabila Haji Ismail bin Haji Abdul Hamid bagi Jabatan Penjara sekali lagi memunahkan harapan pemain JBP dengan satu rembatan cantik menewaskan penjaga gawang JBP untuk memaksa permainan ditentukan dengan sepakan penalti.

Penjaga gawang Jabatan Penjara muncul wira apabila berjaya menepis sepakan penalti Haziman bin Haji Abdul Halim untuk memastikan piala rebutan bagi tahun 2015 kali ini milik mereka.

Hadir menyempurnakan penyampaian hadiah di Kompleks Sukan Berakas ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Idris bin Haji Mohd Ali.

ARTIKEL YANG SAMA