Jabatan Penyiaran Sabah anjur Konsert Tahun Baharu Cina 23 Jan ini

Jabatan Penyiaran Sabah anjur Konsert Tahun Baharu Cina 23 Jan ini

KOTA KINABALU, 15 Jan (Bernama) – Jabatan Penyiaran Sabah akan mengadakan Konsert Tahun Baharu Cina Sabah Vfm pada 23 Januari, mulai 7 malam di Dewan Datuk Seri Antenom, Tenom.

Pengarah Jabatan Penyiaran Sabah Ali Ngasio berkata konsert anjuran Unit Sabah Vfm itu diadakan dengan kerjasama Pejabat Daerah Tenom dan Dewan Perniagaan Tionghua Tenom, bertujuan mempromosikan rancangan terbitan Sabah Vfm selain merapatkan hubungan RTM dengan masyarakat setempat.

“Persembahan gimik daripada juruhebah-juruhebah Sabah Vfm siaran Cina dan penonton menjawab kuiz merupakan antara kelainan pada konsert itu,” katanya pada sidang media di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kepayan di sini hari ini.

Ali berkata pelbagai aktiviti menarik turut diadakan antaranya persembahan tarian singa dan naga, tarian tradisi Cina dan silap mata manakala artis tempatan yang akan membuat persembahan termasuk Lam Kong Yaw, Liew Guang Yee, Slyvia Voo Ming Yin dan Lee Young Fah.

Beliau berkata konsert yang akan dirakam dan disiarkan pada Tahun Baharu Cina nanti akan dirasmikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Hajiji Noor.

Sementara itu, Pegawai Daerah Tenom, Madiyem Layapan berkata pengunjung luar yang datang menyaksikan konsert berkenaan kelak berpeluang menikmati pelbagai produk pelancongan yang terdapat di sana.

Katanya, antara tarikan utama ialah Kopi Tenom yang terkenal dengan aromanya yang wangi, Taman Pertanian yang mempunyai kira-kira 300 spesies bunga orkid, Rumah Kebudayaan yang mempamerkan budaya suku kaum Murut dan perkhidmatan kereta api lama dari daerah Beaufort.