Jabatan Tanah perkenal sistem LARIS

Jabatan Tanah perkenal sistem LARIS

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mei – Jabatan Tanah di bawah Kementerian Pembangunan memperluaskan lagi perkhidmatan kepada pemilik-pemilik tanah dengan memperkenalkan Pembayaran Tanah Dalam Talian melalui sistem LARIS (Land Application and Registration Information System). Pembayaran Tanah Dalam Talian akan membolehkan pemilik tanah untuk membuat pembayaran tanah yang tertunggak, contohnya, cukai tahunan tanah, duti setem, premium dan bayaran pendaftaran, menurut kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Dengan kemudahan baru ini, pembayaran tanah boleh dibuat secara dalam talian dengan menggunakan kad kredit, dengan resit elektronik terus dihantar melalui e-mel kepada akaun pengguna e-Darussalam. Perkhidmatan pembayaran ini juga akan diperluaskan kepada talian perbankan (online banking) dalam masa yang terdekat.

Inisiatif ini merupakan sebahagian usaha berterusan oleh Jabatan Tanah untuk meningkatkan perkhidmatan kepada orang ramai, ke arah memperbaiki kemudahan menjalankan perniagaan (ease of doing business) di Negara Brunei Darussalam.

Sistem LARIS telah pun dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan semenjak bulan Februari 2016 untuk membolehkan pemilik tanah menghadapkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran untuk memindah milik tanah secara online.

Selain daripada permohonan untuk mendapatkan kebenaran memindah milik tanah, sistem ini juga menyediakan pemilik tanah untuk membuat permohonan secara dalam talian bagi mendapatkan kebenaran untuk menyambung tempoh pajakan tanah persendirian, tukar syarat khas tanah, menggadai tanah kepada institusi kewangan dan memajak tanah persendirian (lebih tujuh tahun).

Mulai 1 Mei 2016, permohonan tanah yang dihadapkan melalui perkhidmatan peguam adalah dimestikan memohon menggunakan LARIS.

ARTIKEL YANG SAMA