Jabatan Ukur terima kunjungan delegasi CRESDA

Jabatan Ukur terima kunjungan delegasi CRESDA

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jan – Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan, baru-baru ini, telah menerima kunjungan daripada delegasi pakar-pakar dari China Center for Resources Satellite Data and Application (CRESDA).

Delegasi dari pusat itu, yang merupakan institusi penyelidikan sains dan operasi di bawah penyeliaan Kementerian Sains dan Teknologi (MOST) dan Pentadbiran Angkasa Lepas Kebangsaan China (CSNA), Republik Rakyat China, telah diketuai oleh Timbalan Pengarah CRESDA, China, Dr. Min Xiangjun.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Ukur, lawatan berkenaan bertujuan untuk meneroka kemungkinan kerjasama dan berkongsi pengalaman dalam bidang sains dan teknologi terutamanya dalam bidang data dan sistem pengesanan jarak jauh satelit.

Menerusi projek ini, kerajaan Republik Rakyat China akan mengongsi data satelit untuk mempromosikan penggunaan pengesanan jarak jauh (remote sensing) dalam pembangunan sosial dan ekonomi di samping meningkatkan kerjasama sains dan teknologi di antara China dan Brunei Darussalam.

Menurut kenyataan itu lagi, projek ini akan membolehkan Brunei Darussalam menerima dan berkongsi Data Satelit China dengan para pengguna dalam negara.

Semasa pertemuan itu, perbincangan telah dipimpin oleh Pemangku Juruukur Agung, Haji Ali Bakar bin Haji Kasim dan dihadiri oleh para pegawai kanan dari jabatan berkenaan.

Lawatan berkenaan merupakan kesinambungan daripada kerjasama China-ASEAN STEP, yang mana rangka kerja mengenainya telah ditandatangani bersama oleh menteri-menteri sains dan teknologi ASEAN dengan Menteri Sains dan Teknologi China semasa Mesyuarat Menteri-menteri Sains dan Teknologi di antara China dan ASEAN di Nanning, China pada 22 September 2012.

Menurut Jabatan Ukur, salah satu projek di bawah kerjasama ini merupakan Platform Perkhidmatan Data Satelit Pengesanan Jarak Jauh China-ASEAN, yang telah dialu-alukan dan dipertimbangkan dalam Jawatankuasa Kecil Teknologi dan Penggunaan Angkasa Lepas (SCOSA) ASEAN, yang berada di bawah naungan Jawatankuasa Sains dan Teknologi (COST) ASEAN.

Pengerusi COST Kebangsaan bagi Brunei adalah di bawah Kementerian Pembangunan. Lawatan berkenaan diteruskan dengan delegasi mengunjungi Bahagian Pemetaan GIS, Jabatan Ukur.

ARTIKEL YANG SAMA