Jabatan Urusan Haji akan guna FB salur maklumat

Jabatan Urusan Haji akan guna FB salur maklumat

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) kini menggunakan laman media sosial Facebook untuk menyalurkan maklumat sahih dari jabatan tersebut serta melaporkan mengenai keadaan sebenar jemaah haji di Tanah Suci.

Platform media sosial tersebut yang baru digunakan Pejabat Urusan Haji bermula musim haji ini, akan dipertingkatkan lagi dan terus digunakan pada musim haji akan datang agar memudahkan ahli keluarga jemaah dan mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut terkini dan sahih mengenai kebajikan para jemaah haji negara semasa mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci.

Perkara itu didedahkan oleh Pemangku Penolong Pengarah Urusan Haji, Jabatan Urusan Haji, Haji Metudin bin Haji Tahir pada temu bual eksklusif bersama Media Permata mengenai langkah proaktif jabatan berkenaan dalam usaha menjamin kebajikan dan keselamatan jemaah haji negara ini dan ketelusan jabatan itu dalam menyalurkan maklumat haji kepada orang ramai.

Hadir sama pada pertemuan yang berlangsung di Bangunan Jabatan Urusan Haji itu ialah Pemangku Penolong Pegawai Ugama (Bahagian Dasar dan Perhubungan Haji) jabatan tersebut, Haji Zul Husni bin Haji Dollah.

Haji Metudin berkata, selain memuat naik maklumat penting dan terkini berkaitan dengan ibadah haji, laman Facebook Jabatan Urusan Haji itu juga akan memuat naik gambar-gambar para jemaah ketika mengerjakan ibadah haji dan para petugas haji menjalankan tugas masing-masing semasa musim haji.

Awang Haji Metudin (kiri) bersama Awang Haji Zul Husni ketika ditemu bual Media Permata.
Awang Haji Metudin (kiri) bersama Awang Haji Zul Husni ketika ditemu bual Media Permata.

Diminta memberi komen mengenai tahap kebajikan para jemaah haji terutama ketika berlakunya kejadian kren runtuh di kawasan mengerjakan sa’ie dan rempuhan di kawasan Jamarat yang meragut lebih 1,000 nyawa, Haji Metudin berkata, Jabatan Urusan Haji sentiasa bekerjasama dan berhubung dari semasa ke semasa dengan Pejabat Pengurusan Haji yang terdiri daripada pegawai pentadbiran dan perubatan di Arab Saudi.

Kerjasama juga diperoleh daripada pihak Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Riyadh serta Konsulat Agung Negara Brunei Darussalam di Jeddah serta pihak berkuasa Arab Saudi, termasuk mematuhi ketetapan dan arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkenaan.

Menurutnya, dalam kejadian kren runtuh akibat tiupan angin kencang di Mekah dan rempuhan di Mina, pihak pengurusan dari Darussalam Holdings Sdn Bhd dan Straits Central Agencies Sdn Bhd telah memberikan kerjasama dan menguruskan para jemaah masing-masing dengan mengeluarkan arahan supaya tidak menghampiri kedua-dua lokasi kejadian.

“Ekoran arahan yang diterima itu, para jemaah pakej Staits Central Agencies yang menetap di Hotel Raihan

dan jemaah pakej Darussalam Holdings yang menetapkan di Hotel Ghufran dan Hotel Ajyad telah berkumpul di hotel masing-masing yang terletak kira-kira 600 meter dari tempat kejadian,” katanya.

Ditanya mengenai tahap pengurusan jenazah salah seorang jemaah haji negara yang meninggal dunia di Tanah Suci, beliau menjelaskan, Allahyarham Pengiran Haji Mohd Tahir bin Pengiran Haji Damit, 54, telah meninggal dunia pada 26 September 2015 pada pukul 9.25 malam di Klinik Perubatan Negara Brunei Darussalam di Hotel Makarin Firdaus Shisha.

Jenazah Allahyarham yang berasal dari Kampung Katok ‘A’ itu kemudiannya disembahyangkan selepas waktu subuh di Masjid Rajihi di kawasan Aziziah dan kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Syara’aya pada 27 September 2015.

Menurut Haji Metudin lagi, ekoran menerima berita mengenai pemergian Allahyarham Pengiran Haji Mohd Tahir, pegawai dari KHEU telah menghubungi ahli keluarganya di Kampung Katok ‘A’ dan sembahyang ghaib telah diadakan di Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

ARTIKEL YANG SAMA