Jackie Chan bantu mangsa gempa Nepal

Jackie Chan bantu mangsa gempa Nepal

KATHMANDU, 10 Jun (Bernama) – Bintang filem aksi Hollywood Datuk Jackie Chan tiba di Kathmandu pada Selasa lalu bagi memberi sokongan kepada mangsa gempa bumi di Nepal.

Beliau menaiki penerbangan Air China ke Kathmandu dan menyerahkan barang bantuan kepada Persatuan Palang Merah Nepal untuk diagihkan kepada mangsa gempa di Siddhipur dan Lalitpur, kata pegawai kanan Persatuan Palang Merah Nepal, Ishwari Regmi.

Persatuan Palang Merah China menyelaraskan lawatan Chan ke Nepal.

Chan mengumumkan bahawa beliau secara peribadi menderma sebanyak AS$100,000 pada satu majlis amal di Singapura bulan lepas, yang dianjurkan bagi mengumpul dana untuk mangsa gempa bumi Nepal.

Chan dijadualkan pulang ke Hong Kong lewat Selasa sejurus selepas menyerahkan bantuan kepada mangsa.

Jackie Chan (tengah) turut mengangkat kotak bersama-sama pegawai lain ketika mengambil bahagian dalam program bantuan untuk mangsa gempa bumi di Kathmandu anjuran Palang Merah China pada 9 Jun 2015. – AFP