Jadi generasi pelindung agama, negara

Jadi generasi pelindung agama, negara

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Sept – Amalan dan gaya hidup masa kini sentiasa terdedah kepada pelbagai elemen mencabar minda dan akidah.

Ini kadang-kadang tidak serasi dengan syariat dan budaya masyarakat Islam setempat dan lebih membimbangkan, arus globalisasi dan kepesatan teknologi infokomunikasi juga telah membuka ruang luas kepada masyarakat dengan fahaman dan ideologi yang merosakkan akal, meruntuhkan akidah, institusi kemasyarakatan dan kesucian Islam.

Justeru, untuk menangkis segala kerosakan dan keruntuhan ini, agama dan sebuah negara bertamadun memerlukan tunjang generasi penerus yang mantap rohani dan jasmaninya, antaranya ialah Generasi Huffaz yang sentiasa bersedia mencurahkan bakti dan menyumbang secara produktif kepada pembangunan masyarakat dan bangsa Brunei.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Timbalan Sultan, menekankan perkara itu ketika bersabda pada Majlis Haflut Takharruj Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) ke-4 di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, hari ini.

Sabda Duli Yang Teramat Mulia lagi, mereka ini merupakan tonggak yang boleh memimpin masyarakat kita untuk terus taat beramal dan menghayati ajaran Islam dan Al-Quran yang syumul.

Duli Yang Teramat Mulia berkenan bersabda pada Majlis Haflut Takharruj ITQSHHB ke-14.
Duli Yang Teramat Mulia berkenan bersabda pada Majlis Haflut Takharruj ITQSHHB ke-14.

Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah S.A.W dalam hadis yang diriwayatkan Sahih al-Bukhari dari Uthman bin Affan, mafhumnya, “Sesungguhnya sebaik-baik manusia di antara kamu adalah orang-orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya.”

Duli Yang Teramat Mulia turut mengingatkan agar graduan memikul tanggungjawab untuk sentiasa memperkemas dan mempersiapkan diri ke arah menegakkan syiar Islam bersandarkan prinsip Maqasid Syariah.

Ini adalah sangat mustahak, tegas Duli Yang Teramat Mulia, bagi menjamin dan melindungi maruah agama dan memelihara tanggungjawab serta amanah ke arah menegakkan syiar Islam. Selain selaku ilmuwan Islam, mereka perlu saling memanfaatkan dan mengongsikan ilmu pengetahuan berpandukan Al-Quran dan As-Sunah.

Dengan cara ini, Duli Yang Teramat Mulia percaya, kita dapat memimpin dan membimbing masyarakat yang beriman dan bertakwa menurut landasan Islam yang sebenar.

“Matlamat ini adalah selaras dengan aspirasi Paduka Ayahanda dalam pembangunan sebuah Negara Zikir yang didokong oleh masyarakat yang beriman dan bertakwa dan disertai dengan minda dan mentaliti yang mantap dengan nilai-nilai luhur Islam sebagai teladan kepada umat sejagat,” sabdanya.

Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia melahirkan syukur atas pengenalan Program Diploma ‘Aliyah Qiraat yang bermula pada 2010 memberikan peluang luas kepada graduan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan dalam masa yang sama ia dapat melahirkan ilmuwan dalam berbagai bidang kepakaran dan kerjaya serta huffaz. Duli Yang Teramat Mulia juga mengucapkan tahniah kepada para graduan yang diraikan hari ini.

ARTIKEL YANG SAMA