Jadi kebanggaan

Jadi kebanggaan

KUCHING, 10 Ogos – Berita kejayaan gandingan penerjun negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong meraih pingat perak pada Sukan Olimpik Rio awal pagi ini membawa keceriaan kepada rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Bidayuh di daerah Bau.

Gandingan itu menyumbangkan pingat pertama buat Malaysia dalam Olimpik Rio selepas menduduki tempat kedua dalam acara 10m platform serentak.

Anggota Dewan Undangan Negeri Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep, semasa mengucapkan tahniah kepada Pandelela dan Jun Hoong memberitahu Bernama, ganjaran RM50,000 bagi pingat emas kepada Pandelela masih ditawarkannya.

Pandelela mempunyai satu lagi acara dalam temasya itu – 10m platform individu yang merupakan acara kegemarannya.

Presiden Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Datuk Ik Pahon berkata DBNA akan berusaha mendapatkan ganjaran yang dilihat sesuai sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan Pandelela pada Sukan Olimpik Rio.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan Negeri Datuk Shahrul Zaman Yahya (tengah) meneliti pingat yang diperoleh atlet terjun negara Cheong Jun Hoong, yang menyumbang pingat pertama Malaysia di Sukan Olimpik Rio 2016 bersama penerjun negara Pandelela Rinong dalam acara terjun 10 meter platform seirama wanita, ketika mengunjungi kediaman keluarganya di Taman Galeri Sukma hari ini. Turut memerhati ibu Jun Hoong, Leow Lai Kuan, 50, (kiri) dan adiknya Cheong Jun Yeng, 23. – Bernama

Pahon berkata beliau tidak sabar menunggu aksi gadis Bidayuh daripada Kampung Jugan, Bau itu untuk menyumbangkan pingat emas dalam acara 10m platform individu. Gandingan Pandelela, Jun Hoong adalah dari Perak.

Beliau berkata masyarakat itu bangga dengan kejayaan Pandelela dan yakin beberapa remaja akan mengikut jejak langkahnya, tidak semestinya dalam acara terjun tetapi dalam lain-lain jenis sukan dan bidang.

“Pandelela selama ini telah dijadikan contoh bukan sahaja bagi belia Bidayuh tetapi juga semua belia di negeri ini,” kata Pahon yang juga setiausaha tetap di Kementerian Pelancongan Sarawak.

“Kami mendoakan kejayaan beliau dalam acara 10m platform individu,” katanya.

Jake Odium, 53, dari Bau berkata sebagai rakyat Malaysia dan orang Bidayuh yang berasal dari daerah yang sama dengan Pandelela, membuatkan dirinya “amat bangga dengan pencapaiannya”. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA