Jadi rujukan

Jadi rujukan

PUTRAJAYA, 8 Sept – Sekretariat ASEAN telah meminta Indeks Belia Malaysia dijadikan rujukan bagi Indeks Belia ASEAN yang dicadangkan, menurut Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata apabila siap dirumuskan, Indeks Belia ASEAN akan membolehkan Malaysia membuat perbandingan lebih tepat dengan negara anggota ASEAN dari segi kebajikan belia.

“Jadi, sebaik sahaja Indeks Belia ASEAN dirumuskan dan jika petunjuk dan domain adalah serupa dengan Malaysia, dengan itu kita (Malaysia) akan dapat membuat perbandingan lebih tepat dengan negara anggota ASEAN yang lain,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Indeks Belia Malaysia 2015 di kementeriannya di sini, hari ini.

Ketika ini, skor keseluruhan Indeks Belia Malaysia adalah 70.22. Mengulas skor itu, Khairy berkata skor 70 dianggap agak baik, dan ada ruang untuk penambahbaikan.

“Yang jelas, terdapat kebimbangan serius dalam kalangan belia Malaysia dari segi penyertaan dalam ekonomi dan politik. Penyertaan politik mendapat skor terendah iaitu 46.” – Bernama