Jadi tradisi tahunan

Jadi tradisi tahunan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Julai – Istana Nurul Iman terus dibanjiri pengunjung pelbagai bangsa dan usia yang tidak ingin melepaskan peluang menjunjung ziarah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri pada hari terakhir Majlis Istana Terbuka Hari Raya Aidilfitri, hari ini.

Dalam kemeriahan itu, wartawan Media Permata berkesempatan menemui beberapa pengunjung, dan salah seorang daripadanya ialah Dayang Fatimah binti Sigai, 56, yang pertama kali berkunjung ke Istana Nurul Iman dalam hidup beliau, bersama anak dan cucunya, hari ini.

Menurutnya, beliau selalu berdoa untuk menatap wajah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri yang sebelum ini hanya dilihat melalui kaca televisyen dan gambar.

“Alhamdulillah, doa saya dikabulkan Allah, hari ini, saya berpeluang menatap raut wajah Baginda Raja Isteri yang begitu berseri dan ramah mesra kepada semua pengunjung yang menjunjung ziarah sempena Hari Raya yang mulia ini,” katanya.

Keluarga Awang Ramli tidak pernah ketinggalan berkunjung ke Istana Nurul Iman sejak anak-anaknya masih kecil dan kini semua mereka sudah meningkat dewasa.
Keluarga Awang Ramli tidak pernah ketinggalan berkunjung ke Istana Nurul Iman sejak anak-anaknya masih kecil dan kini semua mereka sudah meningkat dewasa.
Warga emas adalah kalangan pengunjung yang sangat diberikan perhatian dan layanan yang istimewa.
Warga emas adalah kalangan pengunjung yang sangat diberikan perhatian dan layanan yang istimewa.

Manakala itu, Awang Ramli Haji Chi dan isteri, Dayang Latifah Sere, memberitahu mereka tidak pernah melepaskan peluang setiap tahun untuk berkunjung ke Istana Nurul Iman, bersama anak-anak dan cucu, sejak usia anak mereka kecil lagi sehinggalah sekarang kesemuanya sudah meningkat dewasa.

Kunjungan ke Istana Nurul Iman setiap tahun juga menjadi tradisi warga emas, Dayang Masnah Ali, 66, yang datang bersama tiga orang cucunya.

Walaupun perlu menggunakan kerusi roda, beliau tidak pernah mahu melepaskan peluang untuk menyertai majlis itu setiap tahun, begitu juga dengan Hajah Ratinah Mohd Salleh, 70, dari Kuala Belait, dan Dayang Fong Kion Tai, 90, yang dibawa oleh dua orang anak perempuannya, untuk sama-sama merasakan kemeriahan berhari raya di Istana Nurul Iman dan berpeluang menatap wajah Baginda Raja Isteri dan kerabat diraja lainnya.

ARTIKEL YANG SAMA