Jadikan Brunei kompetitif

Jadikan Brunei kompetitif

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mei – Dalam usahanya untuk menambah majukan kemudahan menjalankan perniagaan di Negara Brunei Darussalam (ease of doing business), pada jangka masa panjang Darussalam Enterprise (DARe) harus dapat membantu sektor perniagaan di negara ini terutama dalam menarik kemasukan pelabur asing untuk melabur di negara ini.

Agensi sokongan usahawan tempatan itu harus membantu para pelabur syarikat usaha sama asing yang berminat supaya dapat meningkatkan aktiviti ekonomi dan seterusnya meningkatkan produktiviti negara serta Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Pandangan itu disuarakan oleh Pengerusi Eksekutif Majlis Perniagaan BIMP-EAGA, Pengiran Yura Kesteria bin Pengiran Setia Negara Haji Mohd Yusuf ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran platform dana kumpulan ekuiti yang pertama di ASEAN oleh Crowdplus.Asia, yang berlangsung di Dewan Mahligai, The Airport Mall, Berakas, baru-baru ini.

“DARe pada masa ini membantu syarikat-syarikat yang berhadapan dengan masalah terutama masalah pinjaman hutang yang tidak terbayar, tetapi saya berpendapat, tanpa objektif jangka panjang oleh pihak DARe, negara ini tidak akan berupaya untuk menarik ramai pelabur ke negara ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kerana syarikat-syarikat tempatan masih memerlukan sokongan DARe untuk terus bersaing tidak hanya dalam pasaran di Kawasan Pertumbuhan Asia Timur-Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina (BIMP-EAGA), malah di pasaran ASEAN dan dunia.

Pengiran Yura Kesteria semasa bercakap mengenai masa depan industri negara.
Pengiran Yura Kesteria semasa bercakap mengenai masa depan industri negara.

Menurut Pengiran Yura Kesteria lagi, dengan kemunculan banyak pakatan dan kumpulan ekonomi dewasa ini, cabaran ke atas syarikat tempatan untuk bersaing di pasaran global adalah semakin meruncing.

“Cabaran itu lebih besar dengan penubuhan Zon Perdagangan Bebas ASEAN kerana jika kita lalai dan tidak kompetitif untuk menarik minat pelabur ke negara ini dan tidak menyediakan kemudahan atau keselesaan bagi para pelabur, nescaya mereka tidak akan berminat untuk mengembangkan perniagaan mereka di negara ini dan lebih tertarik untuk melabur di negara-negara jiran,” beliau berkata.

Ujarnya lagi, para pelabur akan menunjukkan minat hanya sekali dan jika mereka rasakan pulangan tidak setimpal dengan pelaburan atau suasana menjalankan perniagaan di negara ini tidak memudahkan mereka, maka mereka akan terus mencari peluang pelaburan di negara lain.

“Akibatnya kita yang akan rugi kerana terlepas peluang untuk menarik kemasukan sumber yang dapat memajukan sektor ekonomi negara yang dapat mengembangkan lagi perniagaan dan menghasilkan peluang pekerjaan dan pengalaman untuk anak tempatan,” katanya.

Sebelum mengakhiri komennya, beliau berkata bahawa krisis harga minyak global yang menjejaskan pendapatan negara juga merupakan satu peringatan bahawa negara ini perlu melihat dengan serius terhadap pembangunan projek alternatif bagi menangani pergantungan sepenuhnya kepada industri minyak dan gas. Ini kerana projek alternatif itu juga menjadi tonggak perjuangan BIMP-EAGA untuk mengembangkan perusahaan pengeluaran makanan dan industri makanan halal adalah satu sektor perusahaan yang harus diberikan perhatian serius oleh negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA