Jadikan riadah berbasikal acara kerap

Jadikan riadah berbasikal acara kerap

TANGGAL 14 Ogos 2016, jam 7 pagi di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien telah tercipta satu sejarah yang indah dan gemilang dan tidak dapat dilupakan oleh seluruh lapisan masyarakat apabila raja yang dikasihi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bercemar duli menyertai ribuan rakyat dan penduduk negara ini dalam acara Riadah Berbasikal bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-70.

Keberangkatan Baginda bersama ahli-ahli kerabat diraja yang lain cukup menggembirakan dan wajah-wajah ceria terpancar pada setiap mereka yang menyertai acara bersejarah itu.

Suasana pada pagi itu sungguh meriah dengan penyertaan dianggarkan lebih 1,000 orang. Baginda Sultan serta ahli kerabat diraja yang lain sentiasa mengukir senyuman sambil melambai tangan kepada orang ramai yang berada di sepanjang 15 kilometer laluan riadah. Inilah dia seorang raja berhati dan berjiwa rakyat. Perkara seperti ini mungkin tidak pernah terjadi di mana-mana pun di dunia ini.

Sebagai seorang peminat berbasikal sejak umur saya lapan tahun dan menggunakan basikal untuk ke sekolah rendah melayu (sebelah pagi) dan ke sekolah agama (sebelah petang), maka saya ingin mencadangkan supaya acara seperti ini diadakan dengan lebih kerap, sekurang-kurangnya dua kali setahun dengan jarak kayuhan lingkungan 15 hingga 17 kilometer sekitar Bandar Seri Begawan.

Ia boleh juga diadakan sebagai menyambut Hari Kebangsaan pada setiap Februari dan sebagai menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan pada setiap Julai. – Awang Marol, BSB

ARTIKEL YANG SAMA