Jadikan ‘Sehati Sejiwa’ amalan kehidupan

Jadikan ‘Sehati Sejiwa’ amalan kehidupan

KANOWIT, 24 Ogos (Bernama) – Tema Hari Kebangsaan tahun ini, ‘Sehati Sejiwa’ wajar dijadikan amalan dalam kehidupan masyarakat di negara ini, kata Menteri Muda Kemajuan Tanah Sarawak Datuk Gramong Juna.

Beliau yang juga Menteri Muda Pelancongan (Acara dan Produk) Sarawak berkata tema itu juga boleh memupuk silaturahim, kerjasama dan persefahaman dalamkalangan masyarakat.

“Ia adalah resipi utama ke arah mengekalkan pembangunan yang berterusan di negara ini,” katanya ketika merasmikan Program Kembara Jalur Gemilang di Tebingan Sungai Kanowit di sini semalam.

Beliau turut menyeru penduduk Kanowit supaya mengibarkan Jalur Gemilang di rumah dan premis mereka sebagai sumbangan kepada negara dalam meningkatkan lagi perpaduan dalam kalangan mereka.

Konvoi tujuh kenderaan yang diketuai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Penerangan Sarawak Helmy Hamid, diiringi sekumpulan penunggang motosikal berkuasa besar dari Sibu yang membawa Jalur Gemilang, diberi sambutan meriah oleh penduduk di pekan Kanowit. Turut hadir ialah Anggota Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Alexander Vincent.