Jadilah generasi berwawasan

Jadilah generasi berwawasan

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Feb – Sudah 32 tahun negara ini merdeka dan dengan tema ‘Generasi Berwawasan’ tahun ini, perubahan membentuk diri individu ini bermula dengan kesedaran mengingati Allah S.W.T, muhasabah diri serta istiqamah dalam ibadat.

Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini mengatakan bagi pembentukan individu itu, empat ciri penting perlu ada.

Pertama ialah mempunyai kesedaran diri untuk melaksanakan segala perancangan matlamat hidup dan tindak perbuatannya serta jati diri serta keperibadian yang luhur agar terhindar daripada kemunduran dan kerosakan.

Manakala yang kedua ialah didikan dan asuhan ibu bapa, nilai bertanggungjawab yang mencerminkan agama, budaya dan corak kehidupan sesebuah masyarakat, menerapkan nilai-nilai keimanan dan takwa ke dalam diri anak-anak.

Menurut Khatib lagi, ketiga ialah pendidikan yang mana menuntut ilmu adalah kewajipan dalam Islam kerana ia akan meninggikan martabat seseorang di sisi Allah S.W.T. Melalui pendidikan seimbang formal dan agama, maka terbentuknya generasi berwawasan yang berakhlak tinggi dan menjadi harapan ibu bapa dan negara untuk masa depan.

Manakala keempat pula ialah penghayatan nilai-nilai keperibadian, kekeluargaan dan kenegaraan seperti bersifat baik, adil jujur dan tidak mudah terpengaruh dengan berita-berita palsu, berfikir secara positif, berprasangka baik, bertimbang rasa dan banyak lagi.

Menurut khatib lagi, penghayatan nilai ini sangat penting kerana nilai-nilai ini akan diwarisi oleh generasi akan datang dan seterusnya. Maka adalah rugi jika sesuatu nilai itu tidak dihayati mahupun diamalkan generasi seterusnya, selagi ia tidak bercanggah dengan agama Islam.

“Sebagai rakyat dan penduduk negara ini, kita hendaklah peka dan berusaha merealisasikan hasrat negara melahirkan generasi berwawasan untuk mencapai Wawasan 2035 di samping merealisasikan aspirasi negara menjadi sebuah Negara Zikir.

“Generasi berwawasan tidak akan menunggu apa yang kerajaan berikan kepadanya malah mereka bersiap siaga untuk menyumbangkan jasa, bakti mereka kepada negara sama ada sumbangan idea, material, fizikal mahupun profesion dan profesional mereka,” tambah khatib.

“Maka sempena sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32 tahun, marilah kita sama-sama hadir ke masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat pada petang Isnin, 22 Februari bagi menunaikan sembahyang fardu Maghrib dan Isyak berjemaah, sembahyang hajat, membaca Surah Yasin dan membaca doa-doa kesyukuran sempena ulang tahun Hari Kebangsaan ini,” ujar khatib.

ARTIKEL YANG SAMA